Prestasi memberangsangkan suku ketiga isyarat kukuh trajektori positif ekonomi Malaysia – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Prestasi memberangsangkan suku ketiga 2023 memberikan isyarat kukuh untuk trajektori positif bagi Malaysia mencapai daya tahan dan menyokong penstrukturan semula ekonomi yang dihasratkan di bawah Ekonomi MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga meningkat 3.3 peratus menjadikan pertumbuhan dalam tempoh sembilan bulan 2023 sebanyak 3.9 peratus., dengan ekonomi telah dipacu oleh permintaan domestik, manakala keadaan global kekal lemah dan tidak menentu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata permintaan domestik yang dinamik mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memulihkan kerancakan ekonomi Malaysia.

“Pembaharuan fiskal pada peringkat awal yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menjana penjimatan dan hasil lebih tinggi yang diagihkan semula kepada rakyat secara langsung atau tidak langsung,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata pasaran buruh terus bertambah baik dengan kadar pengangguran berkurangan kepada 3.4 peratus pada suku ketiga 2023 iaitu pengurangan bilangan penganggur sebanyak 1.4 peratus berbanding suku sebelumnya.

“Inflasi turut menyederhana kepada dua peratus berbanding 2.8 peratus pada suku 2023 yang disokong oleh subsidi kepenggunaan oleh kerajaan untuk mengimbangi kenaikan harga perkhidmatan dan makanan,” katanya.

Anwar berkata Belanjawan 2024 akan merealisasikan pembaharuan fiskal dan ekonomi oleh Kerajaan MADANI secara efektif dengan memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk mencapai visi yang ditetapkan dalam Ekonomi MADANI.

“Kerajaan akan terus mengurangkan defisit fiskal daripada lima peratus pada 2023 kepada 4.3 peratus pada 2024, dan ia tetap teguh dengan pendirian dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Menurut MOF permintaan domestik melonjak sebanyak 4.8 peratus pada suku ketiga 2023 dengan pasaran buruh yang berdaya tahan dan disokong oleh sektor pelancongan yang bertambah kukuh.

Dari segi penawaran, pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong oleh pengembangan dalam sektor perkhidmatan (lima peratus), pertanian (0.8 peratus) dan pembinaan (7.2 peratus), tambahnya.

“Walau bagaimanapun, pertumbuhan tersebut menghadapi penguncupan kecil dalam sektor pembuatan (0.1 peratus) dan perlombongan dan pengkuarian (0.1 peratus).

“Sementara itu, jumlah dagangan menyusut sebanyak 15.7 peratus kepada RM653.3 bilion,” jelas MOF.

Justeru, kementerian berkata kerajaan akan meneruskan pelaksanaan pembaharuan ekonomi seperti yang dinyatakan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, yang disokong oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas.

“Walau bagaimanapun, ketegangan geopolitik telah memberikan kesan domino, berikutan gangguan berterusan dalam rantaian bekalan antarabangsa dan peningkatan kadar faedah global.

“Situasi tersebut memuncak dengan kemerosotan dalam permintaan luaran yang mendedahkan ekonomi negara kepada risiko yang mungkin berlarutan dalam jangka masa sederhana,” menurut MoF.

MOF memaklumkan pada September 2023, peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia sebanyak 1.9 peratus adalah jauh lebih baik berbanding negara maju dan serantau terpilih seperti United Kingdom (UK) (6.7 peratus), Filipina (6.1 peratus), Singapura (4.1 peratus), Amerika Syarikat (3.7 peratus) dan Indonesia (2.3 peratus).

Di samping pasaran domestik yang terus bertambah baik, pemulihan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) dijangka memberikan kesan positif kepada pasaran eksport pada suku keempat 2023, tambahnya.

MOF menekankan bahawa melangkah ke tahun 2024 dan seterusnya, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan pembaharuan ekonomi seperti yang dinyatakan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang disokong oleh dokumen dasar utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas.

“Bidang tumpuan termasuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, menggalakkan pelaburan berkualiti untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, memastikan tadbir urus yang baik serta menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur awam ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat,” menurut MOF.

MOF menjelaskan walau bagaimanapun, ketegangan geopolitik telah memberikan kesan domino, berikutan gangguan berterusan dalam rantaian bekalan antarabangsa dan peningkatan kadar faedah global.

Situasi tersebut memuncak dengan kemerosotan dalam permintaan luaran yang mendedahkan ekonomi negara kepada risiko yang mungkin berlarutan dalam jangka masa sederhana, tambahnya.

Usaha bagi mengekang risiko ini bertitik tolak daripada inisiatif berterusan kerajaan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi, menurutnya.

MOF memaklumkan bahawa pada suku 2023, FDI bersih telah melebihi dua kali ganda berbanding suku sebelumnya kepada RM7.2 bilion (suku kedua 2023: RM3.1 bilion).

“Aktiviti kewangan dan insurans/takaful; maklumat dan komunikasi serta sektor perdagangan borong dan runcit menarik FDI tertinggi terutama dari Hong Kong, China, UK, Singapura dan Jepun.

“Melangkah ke hadapan, lebih banyak usaha akan digerakkan untuk menarik FDI dalam sektor pembuatan bernilai tinggi khususnya untuk E&E, petrokimia dan tenaga boleh baharu,” tegas MOF. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat