Deklarasi G70: Mantan ahli akademik tak dimaklum tentang sokong Anwar jadi PM

- Advertisement -

CYBERJAYA: Mantan Timbalan Ketua Kluster Ekonomi Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Ishak Yusof menarik diri dari terlibat dengan kumpulan ahli akademik Deklarasi Profesor Melayu G70.

Ishak yang pernah menjadi PRO Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pada mulanya kumpulan tersebut membuat deklarasi mendukung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam keadaan telus bagi memilih pemimpin terbaik untuk negara.

Namun, katanya, beliau tidak dimaklumkan tentang sokongan terhadap mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri.

“Tidak pula saya dimaklumkan tentang menyatakan sokongan kepada mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Dengan ini saya menarik diri dari Kumpulan G70 ini,” katanya dalam kenyataan yang ditulis di Facebooknya.

Menjelaskan penarikan dirinya, Ishak memberitahu, sebagai seorang mantan ahli akademik, beliau mengambil pendirian non partisan dalam politik dan tidak menyatakan sokongan secara terbuka terhadap mana-mana parti atau individu.

Jelasnya lagi, beliau juga tidak berhasrat menggunakan kedudukannya sebagai ahli akademik untuk cuba mempengaruhi mana-mana pihak untuk memilih parti politik atau pemimpin pada PRU, 19 November ini.

Sebagai seorang yang telah bersara dalam dunia akademik, Ishak juga memberitahu tidak wajar seseorang itu menggunakan gelaran profesor.

“Sebagai mantan Timbalan Ketua Kluster Ekonomi Majlis Profesor Negara (MPN), saya senada dengan MPN menghormati hak individu bercakap dan bersuara.

“Pun begitu, bukanlah hasrat saya untuk menggunakan kedudukan sebagai ahli akademik cuba mempengaruhi mana-mana pihak untuk memilih pemimpin atau parti di dalam pilihan raya negara yang tercinta ini. Memilihlah secara bijaksana.

“Saya telah pun bersara dua tahun lepas dan tidak lagi wajar menggunakan gelaran profesor,” ujarnya lagi.

Satu Deklarasi Profesor Melayu G70 yang menyenaraikan enam resolusi menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan untuk mengundi pada PRU-15.

Antara lain, deklarasi itu turut menyatakan bahawa menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Deklarasi tersebut turut menyenaraikan kira-kira 70 orang ahli akademik bergelar profesor yang didakwa menyokong resolusi berkenaan.

Semalam, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) turut menafikan terlibat dengan Deklarasi Profesor Melayu G70.

Malah, Prof Datuk Dr Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi juga nafi menyokong mana-mana pemimpin parti politik atau memihak kepada mana-mana parti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat