KUALA LUMPUR – Perang sengit antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) didakwa tidak boleh diharapkan untuk membawa kestabilan politik di Melaka,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah kata Presiden PKR itu, BN dan PN tidak layak bercakap soal penyatuan mahupun perpaduan sedangkan mereka sendiri bertempur di bawah.

Bercakap pada ceramah secara maya untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka malam tadi, Anwar berkata pengundi harus mempertimbangkan senario jika BN atau PN menang.

“Mereka dah perang sekarang ini. Peperangan sengit di antara PN dan BN. Bercakap soal penyatuan dan perpaduan tetapi bertempur di bawah,” katanya.

Ketua Pembangkang itu memberitahu sedangkan BN dan PN adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan tetapi bertembung sesama sendiri di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka.

“Pagi timbalan menteri dari Bersatu kempen. Petang, menteri dari Umno kempen. Tempat yang sama, parti lain-lain.

“Di Melaka, isu utama ialah kestabilan politik. Kita perlu memilih kepimpinan yang mempunyai dasar yang jelas dan boleh memastikan kestabilan. Insya-Allah, PH boleh membentuk kerajaan yang stabil,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Anwar juga menggesa pengundi supaya menghukum mereka yang telah menjatuhkan kerajaan negeri PH, yang dipilih pada pilihan raya umum (PRU) 2018 tetapi tumbang berikutan pembelotan wakil rakyat.

Berikutan kejatuhan kerajaan negeri PH pada Mac 2020, ia digantikan oleh kerajaan negeri UMNO-Bersatu, yang juga tumbang pada Oktober 2021 akibat pembelotan wakil rakyat sekali lagi.

Siri pembelotan terbaru yang menjatuhkan kerajaan Umno-Bersatu melibatkan Idris Haron dan Nor Azman Hassan yang masing-masing telah diletakkan di kerusi Asahan dan Pantai Kundor, sebagai calon PH.

Anwar menegaskan Idris dan Nor Azman bukan pengkhianat kerana mereka telah cuba membantu memulihkan kerajaan PH yang dipilih secara sah pada 2018.

Beliau juga memberi jaminan bahawa PH telah menapis calonnya bagi mengelak wakil rakyat yang dipilih lompat parti.