PKPP: K’jaan Timbang Benar Guru Di Sabah/Sarawak Pulang Ke Semenanjung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia menimbang untuk membenarkan guru dari Semenanjung yang bertugas di Sabah serta Sarawak dan sebaliknya pulang ke kampung memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka dijadualkan hanya bermula awal tahun depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Rentas negeri ini ada pengecualiannya, selain kecemasan, bagi guru yang PJJ (perhubungan jarak jauh) memang kita benarkan pulang untuk menjenguk keluarga dengan kebenaran polis.

“Tetapi bagi yang bujang kita akan beritahu KPM (Kementerian Pendidikan) berbincang dengan PDRM supaya benarkan juga mereka balik dan tidak perlu berada di sana (tempat mengajar),” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan sesi akademik secara bersemuka untuk semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara ditangguhkan hingga Januari tahun depan berikutan penularan gelombang ketiga COVID-19.

Sehubungan itu, aktiviti pembelajaran dan pengajaran hanya diadakan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membenarkan aktiviti pelancongan antara kawasan hijau di negara ini.

“Sebagai contoh, orang Sabak Bernam nak melancong ke Pulau Langkawi atau sebaliknya, kedua-duanya kawasan hijau, jadi polis perlu sediakan surat kebenaran bagi menentukan mereka ini benar-benar dari daerah hijau, ini semua kita sedang kaji,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata mereka masih perlu mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan termasuk jumlah individu yang dibenarkan di dalam sesebuah kenderaan jika melancong ke zon hijau yang terletak di negeri di bawah PKPB.

Jika kes COVID-19 di negeri berkenaan terkawal dan status bertukar kepada hijau, negeri itu akan dikeluarkan daripada senarai PKPB apabila tempoh penguatkuasaan tamat dan aktiviti pelancongan boleh dilakukan seperti biasa, katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat