KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki masih enggan mendedahkan identiti ahli politik yang didakwa terkait dengan kes rasuah Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI)
“Dia boleh jadi sesiapa sahaja,” itu reaksi ringkas Azam berhubung identiti ahli politik yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes rasuah Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).
Beliau sebaliknya hanya meminta semua pihak menunggu hasil siasatan SPRM terhadap kes berkenaan.
“Saya tidak mahu komen mengenainya kerana dia boleh jadi sesiapa sahaja. Jadi, kita tunggu,” katanya ketika ditanya mengenai khabar angin di media sosial dan blog yang menamakan seorang ahli politik terbabit dalam kes rasuah MBI.
Sementara itu, mengulas lanjut Azam memaklumkan SPRM menyiasat 20 projek MBI yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti rasuah.
Belaiu berkata, pihaknya turut menyiasat lima syarikat dikatakan mempunyai saham membabitkan beberapa individu termasuk ahli politik terkait dengan kes itu.
Pada masa sama, beliau mengesahkan seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) MBI direman seminggu bermula pada Khamis.
Mengulas lanjut, Azam berkata, penemuan terkini hasil penggeledahan enam premis berkaitan skandal rasuah perlombongan pasir membawa kepada penyitaan wang berjumlah RM600,000.
Azam tidak menolak kemungkinan seorang suspek adalah ahli politik berpengaruh yang dikaitkan dengan penemuan RM5 juta hasil penggeledahan SPRM di sebuah premis dijadikan safe house baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai jangkaan tangkapan ahli politik berkenaan, Azam berkata ia memerlukan sedikit masa untuk pegawainya melengkapkan siasatan.
“Sekarang ini jika tidak salah saya tidak kurang 18 orang kita sudah ambil keterangan.
“SPRM akan panggil lebih ramai saksi, kebanyakannya yang pernah bekerja di MBI dan sektor swasta terlibat,” ulas Azam.