KUALA LUMPUR – Malaysia dan Filipina sepakat meneruskan rundingan untuk memuktamadkan rumusan awal Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, rumusan awal COC ini diputuskan melalui dialog dan perundingan yang membina bersandarkan kepada undang-undang antarabangsa.
“Mengenai Laut China Selatan, kami (Malaysia- Filipina) komited untuk memuktamadkan rumusan awal COC melalui dialog dan perundingan yang membina, selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS),” kata Perdana Menteri, di Parlimen pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Luar Negeri Filipina, Enrique A.Manolo yang berada di Malaysia bagi menghadiri Joint Commission Meeting (JCM) edisi ke-8 Malaysia-Filipina.
Ini sempena 60 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara Asean berkenaan.
“Saya bersemangat untuk memajukan perkongsian kita dan memperdalam kerjasama antara kedua-dua negara kita.
“Penganjuran JCM mempunyai kerjasama penting untuk mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dua hala, dan memberikan peluang terbaik untuk meneroka jalan kerjasama baharu terutamanya dalam bidang seperti pertanian dan keselamatan makanan, ekonomi digital, dan industri halal,” kata Anwar.