KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggeledah enam lagi premis mempunyai kaitan dengan seorang ahli politik berkait kes rasuah membabitkan konsesi perlombongan pasir.
Penggeledahan yang dibuat membabitkan sebuah unit kediaman dan lima pejabat di sekitar ibu negara.
Memetik laporan media, sumber mendedahkan, tindakan itu hasil siasatan susulan SPRM selepas menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh dan menemukan sejunlah mata wang asing bernilai kira-kira RM5 juta pada Sabtu lalu.
Selain itu, tindakan diambil juga adalah rentetan penggeledahan SPRM di dua lagi tempat penyimpanan wang pada keesokannya sebelum menemukan wang tunai termasuk mata wang asing dengan nilai keseluruhan sebanyak RM321,000.
“Jumlah keseluruhan premis diserbu dan digeledah oleh SPRM adalah sembilan lokasi di ibu negara dan setakat ini, belum masih tahu lagi sama ada terdapat sebarang rampasan wang atau dokumen.
“Ini kerana tindakan masih diambil oleh SPRM,” katanya.
Sementara itu, turut dimaklumkan ahli perniagaan yang ditahan semula berhubung dakwaan skandal rasuah sama direman lima hari sehingga Ahad ini.
Terdahulu, ahli perniagaan itu dilapor ditahan semula SPRM selepas tempoh tahanan reman sejak Khamis lalu tamat hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut.
Suspek itu ditahan selepas disyaki menerima rasuah daripada syarikat lain selepas berjaya mendapatkan kontrak berkaitan dengan MBI.
Ahli perniagaan itu antara empat individu yang ditahan SPRM sepanjang minggu lalu berhubung siasatan skandal rasuah bernilai jutaan ringgit berkaitan konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat badan pelaburan negeri berkenaan.
Tiga lagi membabitkan seorang bekas pekerja MBI berusia 45 tahun, selain seorang pemandu berusia 43 tahun dan seorang wanita yang juga bekas pegawai kewangan berusia 46 tahun yang didakwa terbabit dalam kes berkaitan konsesi perlombongan pasir itu.