KUALA LUMPUR: Pelakon Azrel Ismail enggan terpalit dengan kontroversi dan isu sensasi demi mencipta nama dengan segera.
Seboleh-bolehnya bintang utama filem Biko itu mahu namanya kekal bersih.
Azrel berkata, dia menyedari ada sesetengah selebriti menyifatkan kontroversi sebagai boleh menaikkan populariti, namun dirinya enggan dikenali menerusi perkara negatif.
“Saya menjaga nama sejak awal kemunculan lagi. Ada juga yang menasihatkan saya mencipta kontroversi.
“Sebab ada yang beranggapan kontroversi perlu dalam industri hiburan.
“Saya pernah terfikir soal ini, tetapi lebih baik nama saya dikenali menerusi perkara baik.
“Ini kerana saya mahu nama kekal dalam industri, berbanding popular dalam masa singkat. Biarlah orang kenal saya menerusi hasil kerja daripada kontroversi,” katanya kepada BH Online.
Azrel berkata, dia tetap utuh dengan prinsipnya kerana mahu menjaga kesihatan mental.
Katanya, dia mudah tertekan apabila menerima kecaman netizen.
“Saya pernah menerima komen pelik netizen hingga tidak boleh tidur kerana terlalu memikirkannya. Saya rasa bagaikan diserang.
“Contohnya, netizen memberi komen mengenai jambang nampak tidak realistik ketika membintangi filem Pulang. Ketika itu, saya masih baru, jadi amat tertekan bila dikritik.
“Saya ada membalas komen dengan cara agak kasar, namun, pihak penerbit minta saya memohon maaf. Perkara ini menjadi pengajaran terbesar buat saya.
“Malah, saya juga pernah tutup ruang komen dan tidak membuka telefon kerana terlalu takut.
“Disebabkan itu, saya lebih mementingkan kesihatan mental. Saya tidak mahu diserang netizen kerana ini sangat menyeramkan. Ada orang mungkin boleh buat tidak tahu, saya pula sebaliknya,” katanya.
Berikutan itu, Azrel berkata, tidak kisah namanya tidak popular, asalkan tawaran lakonan tidak putus diterima.

Azrel ditemui ketika majlis tontonan dan sidang media filem terbaharu lakonannya berjudul Biko di GSC The Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Selain Azrel, filem arahan Teng Bee turut dibintangi Baby Shima, Sara Ali dan Syed Irfan.
Berkongsi filem terbitan Multimedia Entertainment itu, Azrel berkata, dia gementar menanti tayangan filem kerana ia adalah filem pertama mengetengahkannya sebagai teraju utama.
“Saya tidak banyak menjayakan filem. Biko adalah filem pertama yang dijayakan sebagai watak utama.
“Jadi, dalam teruja saya tetap gementar. Apatah lagi, mahu menjiwai watak Izwan iaitu seorang duda dan bapa kepada Biko, bukan mudah.
“Jujurnya, saya baca skrip dua hingga tiga kali untuk benar-benar memahami watak Izwan. Dan, saya juga agak tegas dengan pelakon kanak-kanak bagi memastikan watak sebagai bapa dan anak nampak serasi.
“Ini kerana dua watak ini adalah kekuatan pada jalan cerita filem Biko,” katanya.
Azrel bersyukur menerima bantuan dari pengarah, Teng Bee dan pelakon lain untuk menjayakan watak dengan baik.
Biko berkisarkan bapa tunggal, Izwan yang sudah lama mengimpikan kehidupan selesa untuk anaknya, Biko.
Sebagai pemandu lori, Izwan berusaha membeli rumah, namun ditipu. Izwan dan Biko perlu menetap dalam lori sehingga kawan baiknya, Sherry membawa Biko menghadiri uji bakat penggambaran video muzik penyanyi popular, Sara.
Tanpa diketahui, Sara dan Izwan mempunyai kisah silam bersama.
Berita Harian