Darah di tepi longkang, pergelangan kaki cedera, Ketua Warden gagal hubungi ibu bapa Zara

KUALA LUMPUR – Ketua warden asrama sekolah Azhari Abd Sagap memberitahu Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu pada Rabu bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dilihat terbaring dalam longkang di bawah bangunan asrama ketika beliau tiba di lokasi kejadian pada awal pagi 16 Julai lalu.

Azhari berkata, beliau kemudian mengarahkan pengawal keselamatan dan lima pelajar yang berada di lokasi ketika itu, untuk mengangkat dan mengalihkan Zara Qairina ke lantai simen berbumbung.

“Sekitar jam 3.04 pagi 16 Julai lalu, saya menerima panggilan daripada pengawal keselamatan sedang bertugas ketika itu, Linah Mansoding, berhubung insiden membabitkan Zara.

“Ketika saya tiba di bangunan asrama sekitar jam 3.13 pagi, saya melihat Zara terbaring tidak sedarkan diri dalam longkang. Berdasarkan pemerhatian saya, dia dilihat bernafas seperti tidur berdengkur.

“Individu berada di lokasi kejadian ketika itu ialah diri saya, Linah dan empat pelajar. Saya kemudian meminta mereka untuk mengangkat Zara keluar dari longkang ke tempat lantai simen berbumbung,” katanya ketika membaca penyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Azhari, 31, yang juga saksi kelapan pada prosiding inkues kes kematian Zara Qairina, memaklumkan kepada mahkamah bahawa ketika pelajar Tingkatan Satu itu dialihkan, beliau melihat terdapat darah di tepi longkang dan kecederaan di pergelangan kakinya.

Katanya, beliau membuat panggilan kecemasan melalui talian 991 pada jam 3.17 pagi.

“Selepas itu, saya menghubungi Guru Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid), Cikgu Asnie. Saya kemudian pergi ke rumah Pengetua, Ustazah Shaharoom Hashim, yang terletak berhampiran asrama, untuk memaklumkan mengenai insiden berkenaan.

“Saya juga cuba menghubungi ibu bapa Zara tetapi tidak berjaya,” katanya memetik BH di Sabah.

Azhari berkata, beliau menghubungi talian kecemasan 991 sekali lagi pada jam 3.47 pagi.

“Zara kemudian dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans yang tiba sebelum jam 4 pagi. Sekitar jam 8.16 pagi, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berhubung kejadian yang berlaku di sekolah,” katanya.

Azhari turut memaklumkan bahawa sepanjang tempoh bertugas sebagai ketua warden, Zara Qairina tidak pernah membuat aduan kepada beliau mengenai masalah di asrama.

“Sebagai guru Bahasa Arab bagi pelajar Tingkatan Satu dan juga ketua warden asrama, saya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada Zara mengenai sebarang masalah dihadapinya di asrama,” katanya.

Azhari mengajar Bahasa Arab dan Kelas Khas Kemahiran Al-Quran sejak Jun 2020, selain dilantik sebagai ketua warden asrama pada Februari 2025 yang bertugas di bangunan asrama di mana Zara Qairina ditempatkan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat