Hari Malaysia: Mengimbangi Kuasa Besar, Mengangkat Suara Keamanan”

Kemuncak Persidangan ASEAN pada Oktober ini sekali lagi bakal menjadi tumpuan dunia. Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang sudah menyatakan kesediaan hadir, pastinya mengundang perhatian antarabangsa. Rusia juga telah mengumumkan penyertaan mereka, menjadikan sidang kali ini lebih penting dan berpengaruh.

Kehadiran kuasa-kuasa besar tersebut dijangka merancakkan perbincangan tentang pelbagai isu, termasuk keamanan, perdagangan serta hubungan bilateral. Isu tarif dagangan Amerika Syarikat serta ketegangan keselamatan di Asia Timur dijangka kembali menjadi topik hangat.

Ketika ini, Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan bersama seluruh kementeriannya sedang bertungkus-lumus membuat persiapan. Beliau pernah ditanya media mengenai strategi Malaysia untuk mengimbangi hubungan dengan Amerika Syarikat dan rakan dagang lain yang sering tidak sehaluan. Tok Mat menjelaskan, Malaysia mengambil semangat “Dacing” – lambang Barisan Nasional – sebagai metafora keseimbangan. Malaysia akan mengekalkan pendirian berkecuali, tidak memihak, dan memilih keamanan daripada konflik.

Penganalisis politik antarabangsa, Profesor Datuk Dr Azmi Hasan, pula berpendapat bahawa isu Gaza pasti menjadi tumpuan. Malaysia diyakini mampu terus memainkan peranan sebagai pendesak bagi memastikan keamanan dicapai, nasib rakyat Palestin terbela, dan Israel ditekan dengan sokongan kuasa besar. Perdana Menteri sendiri turut menegaskan solidariti terhadap Palestin akan dibawa ke pentas ASEAN, termasuk mengutuk serangan Israel ke atas Qatar. Malaysia perlu tegas menunjukkan ia mampu menyumbang demi keamanan sejagat.

Sempena Hari Malaysia, Tok Mat yang juga Timbalan Presiden UMNO mengingatkan rakan parti dalam Barisan Nasional, khususnya MIC dan MCA, supaya terus memelihara persahabatan demi kebangkitan semula BN. Beliau menegaskan, sebarang rasa tidak puas hati perlu dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi BN, bukan melalui platform luar, demi menjaga keharmonian dan muafakat yang telah lama dibina.

Dalam satu kenyataan ringkas di laman Facebook, Tok Mat menegaskan bahawa keharmonian yang dikecapi hari ini adalah hasil perpaduan dan toleransi antara kaum. Beliau menyeru rakyat terus mempertahankan semangat perpaduan demi masa depan yang lebih gemilang.

Pada masa sama, kerajaan juga menunjukkan keprihatinan dengan segera menyalurkan bantuan kepada mangsa tanah runtuh dan banjir, menandakan bahawa dalam suasana sambutan Hari Malaysia, nasib rakyat yang ditimpa musibah tetap tidak dilupakan. Sikap inilah yang menjadikan Malaysia dihormati jiran serantau, negara-negara Eropah, dan rakan-rakan di dunia Islam, yang sering mengalu-alukan sumbangan serta bantuan kecemasan Malaysia ketika bencana.

Malaysia yang berpegang kepada prinsip berkecuali dan bebas, kini semakin diyakini sebagai suara lantang membawa mesej keamanan sejagat. Semoga wadah ini terus dihormati dunia.

author avatar
Azmah Dahari
Azmah Dahari merupakan bekas wartawan dan pembaca berita TV3.
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat