KLUANG – Pembangkang bertegas tidak akan menerima Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan sekiranya kerajaan masih mengekalkan syarat-syarat sama meskipun dirunding sekali lagi.
Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, pembangkang tidak akan tunduk dengan syarat-syarat yang dikemuka Kerajaan Perpaduan itu sebaliknya mahu meneruskan hidup sebagai ahli Parlimen yang bermaruah.
“Kita (pembangkang) buat keputusan itu (tolak MoU) secara konsensus, kita bincang secara terperinci, kita kaji setiap syarat-syarat yang diberikan dan kita buat keputusan tak boleh terima sebab syarat itu beri banyak kekangan kepada ahli Parlimen.
“Macam kita ni bukan ahli Parlimen, dengar kata sajalah. Nak cakap pun tak boleh, nak tentang, letak syarat 3R dan sebagainya…kalau nak bagi, bagilah. Janganlah syarat sampai macam tu, macam tidak menghormati ahli Parlimen sebagai seorang individu yang menang pilihan raya yang dipilih rakyat.
“Saya percaya ini bukan caranya. Jadi kita buat keputusan kita menolak. Sama ada akan ada rundingan atau tidak, kita serah kepada pucuk pimpinan PN.
“Tapi saya yakin dan percaya kalau syarat tu tak berubah. Macam tu juga, kita confirm tidak boleh menerimalah. Biarlah kita hidup sebagai ahli Parlimen yang bermaruah daripada kita menjual maruah kita sehingga tak boleh berucap membawa isu-isu yang libatkan kepentingan kepada rakyat yang kita wakili.
“Jika ada isu yang dia (kerajaan) bawa, kita hanya perlu menyokong, baiklah kita hidup seperti kita sekarang. After all dah dekat 2 tahun kita cuba hidup dengan cara yang tak ada peruntukan,” tegas beliau ketika ditemui media di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dorset, malam tadi.
Wakil rakyat Bersatu itu berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan kerajaan terbuka sekiranya memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang mahu dirunding sekali lagi.
Namun, Zahid menegaskan, ia tidak akan tersasar daripada syarat asal seperti ditetapkan dalam draf MoU dikemukakan kerajaan kepada PN sebelum ini.
Menurut Zahid , draf itu sudah dirangka dengan kandungan dan beberapa syarat mengikut apa difikirkan sesuai oleh kerajaan dan diserahkan kepada PN untuk dibincangkan dengan ahli Parlimen mereka.
Ku Abd Rahman mendakwa, sekiranya pembangkang menerima syarat-syarat yang ditetapkan Kerajaan Perpaduan itu mereka tidak boleh lagi bercakap isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat.
“Kalau kita terima syarat-syarat tu maknanya ahli-ahli Parlimen ini (pembangkang) tidak boleh lagi bercakap tentang isu-isu rakyat, masalah-masalah yang dihadapi rakyat terutamanya kos sara hidup rakyat yang menghimpit.
“Kita tak boleh lagi bercakap sebab kita dah tandatangan. Ini kita tak boleh terima. Jadi biarlah kita tak ada peruntukan, tapi kita akan memperjuangkan nasib rakyat dalam segala aspek yang membebankan rakyat.
“Termasuk isu-isu yang memberi kesan yang buruk terhadap isu Melayu, isu Islam dan akan datang lagi isu-isu lain. Kalau kita tandatangan saja, kita kena ikut sahaja lah.Jadi macam lembu lah cucuk hidung, ikat tarik je..we cannot do that.
“Kita ada amanah yang kita dapat daripada rakyat yang memilih kita, tak kan half way kita nak berubah dari apa yang kita katakan dan kita perjuangkan masa kempen PRU. Itu lebih buruk akibatnya daripada kita menerima peruntukan dan mengikut syarat-syarat yang diberikan kepada kita,” ujar beliau lagi.
Beliau turut mengingatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) sewaktu mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sebelum ini yang menjanjikan peruntukan kawasan sama rata.
Untuk rekod, dalam manifesto PH parti itu menjamin bakal menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat Parlimen tanpa mengira parti kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan itu. Peruntukan dana juga perlu disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“Itu sebenarnya yang jadi isu besar. Kalau dulu zaman Barisan Nasional (BN) pun tak pernah bercakap dulu pasal bila menang kami akan beri peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang.
“Tetapi PH khususnya (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), banyak ucapan beliau dalam kempen pilihan raya dan sebelum itu juga, disebut bahawa kalau kita menang akan buat reformasi..banyak yang disebut. (antaranya) reformasi untuk berikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang kerana mereka juga dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil rakyat.
“Ini isu besar dia. Kalau dia tak kata, orang pun tak kata apa. Maksudnya,
“Parti lain mereka tak janji. Tu lain, mereka (BN atau PN) tak pernah janji. BN tak pernah janji. Ini (PH) janji. Janji ni kalau tak tunai ni, hukum Islam pun berdosa kalau janji tak tunai ni,” katanya.
Mengulas lanjut Ku Abd Rahman memberitahu, setakat ini rakyat di kawasan yang diwakili wakil rakyat pembangkang tidak merungut bahkan memahami kekurangan peruntukan untuk salur bantuan.
“Setakat sekarang ni rakyat tak merungut. Mereka faham walaupun kadang-kadang mereka minta peruntukan. Kalau banyak kita tak mampu. Saya boleh sikit-sikit saya bagilah. Orang sakit, orang miskin, fakir kita bantu mengambil duit daripada elaun ahli Parlimen.
“Ahli Parlimen ni bukan dapat gaji, elaun sahaja. Jadi kita guna duit itulah. Pusat khidmat pun kita kena guna duit, kakitangan yang kita ambil, bayar gaji, utiliti, semua kita bayar dengan elaun ahli Parlimen.
“Saya akui sukar, susah, tapi kita sanggup berkorban,” jelas beliau.