Pasang Jalur Gemilang terbalik, premis perindustrian di Kulai diarah tutup sementara – Exco Johor

KUALA LUMPUR – Sebuah premis perindustrian di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) di Johor ditutup sementara selepas didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan itu diambil sehingga pihak syarikat berkenaan tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.

“Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik itu turut diperbetulkan dengan serta-merta selepas perkara berkenaan dikenal pasti.

“Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan, manakala pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil dengan kadar segera untuk memberikan penjelasan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin, lapor Sinar Harian.

Sebelum itu tular gambar menunjukkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik di hadapan sebuah premis perindustrian menimbulkan kemarahan orang ramai lebih-lebih lagi ketika bulan kemerdekaan.

Dalam pada itu, Jafni berkata, tindakan yang diambil MPKu mempunyai asas berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 yang diguna pakai PBT di Johor.

Tambahnya, ia termasuk UUK 49(2) berkaitan kuasa menutup premis dan UUK 45(1) berkaitan pengibaran bendera.

Beliau seterusnya, menegaskan isu berkaitan pemasangan Jalur Gemilang tidak boleh dipandang ringan, terutama ketika negara sedang menyambut Bulan Kebangsaan.

“Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan.

“Semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri di Johor, diingatkan supaya memastikan pemasangan Jalur Gemilang dilakukan dengan betul dan penuh rasa tanggungjawab,” ujarnya lagi.

Tegas beliau, alasan kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekehkan simbol kedaulatan negara.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang.

“Kita boleh menunggu hasil siasatan bagi menentukan punca dan tanggungjawab pihak terlibat, tetapi prinsip kita jelas. Maruah negara mesti dipelihara dan undang-undang mesti dihormati,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat