KUALA LUMPUR – Undian seramai 1,857 perwakilan bukan sekadar angka kemenangan satu usul semata-mata, tetapi mandat besar perwakilan supaya DAP terus berada dalam Kerajaan Persekutuan, menggunakan amanah kuasa yang ada untuk melaksanakan reformasi serta kekal mempertahankan prinsip parti, kepentingan rakyat dan Malaysia.
AJK Eksekutif DAP Pusat Sheikh Omar Ali berkata, 1,857 tak bermakna ahli memberikan ‘cek kosong’ kepada pemimpin DAP dalam kerajaan.
Menurut beliau, sepanjang perbahasan, persoalan prestasi dan kemampuan DAP untuk berperanan merealisasikan reformasi menjadi topik penting.
Jadi kata Naib Pengerusi DAP Johor itu lagi, kedudukan DAP selepas ini lebih tepat difahami sebagai ‘kekal dalam kerajaan tetapi melipat ganda usaha demi perubahan dasar’.
“1,857 orang perwakilan mengundi usul supaya DAP kekal berada dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
“1,857 undi (88.2 peratus) – mahu DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan. 242 undi (11.5 peratus) – mahu DAP keluar. Seramai 2,223 perwakilan hadir ke kongres. 2,099 undi sah keseluruhannya.7 kertas undi rosak.
“Pandangan saya, keputusan ini lebih besar dari sekadar ‘DAP pilih kekal dalam kerajaan’ adalah penegasan semula mandat ahli kepada kepimpinan DAP.
“Sejak 3 pilihan raya negeri, wujudnya desakan supaya DAP menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Madani. Angka 1,857 ini memberikan mandat yang sangat jelas – jangan keluar, teruskan perjuangan dari dalam kerajaan,” jelas beliau.
Menurut Sheikh Omar lagi, 88.2 peratus menunjukkan keputusan yang sangat kuat.
“Ini penting kerana sebelum persidangan terdapat spekulasi bahawa DAP mungkin menarik diri daripada kerajaan.
“Namun hampir 9 daripada setiap 10 undi sah memilih untuk kekal.
“Keputusan yang mengukuhkan lagi kestabilan Kerajaan Persekutuan. DAP mempunyai 40 kerusi Parlimen.
“Keputusan ini mencerminkan pengukuhan struktur sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengurangkan ketidaktentuan mengenai kemungkinan perubahan politik sebelum PRU akan datang,” katanya.


