KUALA LUMPUR – Usai Kongres Nasional PKR, Ahli Biro Politik PKR Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyeru supaya merangkul kekuatan setiap anggota PKR.
Bukan cuma itu, Tengku Zafrul mengajak semua merangkul kekuatan daripada setiap pemimpin PKR, dan rangkul kekuatan bersama rakan-rakan akrab PKR iaitu Amanah dan DAP.
“Rakan-rakan kita daripada DAP juga telah hampir sebulat suara mengundi untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan dan ini satu lagi suntikan semangat untuk kita meneruskan dan memperhebat usaha untuk rakyat,” seru beliau.
Sementara itu, Tengku Zafrul akui kagum dengan budaya politik yang ditunjukkan PKR sepanjang dua hari kongres.
“Alhamdulillah, selesai sudah Kongres Nasional pertama bagi saya. Saya cukup kagum dengan budaya politik yang ditunjukkan PKR sepanjang dua hari ini.
“Ikhlas bila bermuhasabah, lantang bila menegur kepimpinan dan utuh mempertahankan prinsip perjuangan.
“Begitu banyak mesej dan teguran yang disampaikan, namun saya yakin semua delegasi pulang ke Cabang masing-masing sehaluan dengan mesej utama yang dibawa Presiden – bahawa kita perlu terus merangkul kekuatan untuk memperhebat PKR, sekali gus memperhebat inisiatif kerajaan untuk rakyat.
“Selepas dua hari ini, bagi saya ada tiga mesej yang cukup jelas. Pertama, apa yang kita dah buat, pastikan rakyat merasai limpahannya, terutamanya dari segi ekonomi.
“Kedua, apa yang belum kita buat, kita laksanakan sekarang, seperti yang Presiden senaraikan sewaktu ucapan penggulungan.
“Ketiga, kita sama-sama kuatkan komunikasi agar rakyat jelas bahawa fokus kita adalah kepada prestasi dan hasil yang dirasai rakyat, bukan politik identiti yang hanya memecah-belahkan.
“Terima kasih kepada semua yang hadir di Kongres. Selamat pulang dan selamat berjuang! Rangkul kekuatan. Teruskan perjuangan. Kerja kita untuk rakyat belum selesai,” ujar Penasihat Kanan Politik Anwar itu lagi.


