Oleh Zihan Zari
ARAU – Graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Ong Soon Jin telah membuktikan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) platform pelajar menguasai ilmu, kemahiran teknikal dan mencipta inovasi berimpak yang boleh membawa kejayaan.
Dengan semangat kental dan tekad yang kuat, Soon Jin, 21, berusaha menimba ilmu bersungguh-sungguh meskipun menghadapi pelbagai cabaran, ternyata penat jerih dan usaha gigih yang dilakukannya selama ini membuahkan hasil manis yang berbaloi.
Akhirnya beliau menggapai Anugerah Khas Graduan Cemerlang Holistik, pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Utara 2026 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dekat sini, baru-baru ini.
Soon Jin anak kelahiran Kuala Lumpur yang dibesarkan di Sungai Petani, Kedah telah menamatkan pengajian dengan pencapaian akademik cemerlang apabila memperoleh Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.93 serta menerima Anugerah Ketua Jabatan bagi setiap semester sepanjang pengajian di PTSB.
Kecemerlangan tersebut diperkukuhkan menerusi penglibatan beliau dalam bidang inovasi melalui projek tahun akhir bertajuk ‘Sustainable Thermoelectric Generator for Agriculture Application’.
Projek itu membangunkan sistem penjanaan tenaga menggunakan perbezaan suhu dengan pemantauan berasaskan teknologi Internet of Things (IoT) itu berjaya meraih Pingat Emas dalam Research and Teaching Innovation Competition (RTIC) 2024 serta Pingat Emas dan Anugerah Idea Generation Terbaik dalam National Invention & Innovation Competition, Exhibition and Robot-Sumo (NICERS’24).
Menurut Soon Jin, minat mendalami ilmu dan keinginan untuk memahami penyelesaian kepada sesuatu masalah menjadi pendorong utama beliau dalam meneroka bidang kejuruteraan.
“Bagi saya, ilmu bukan sekadar untuk mendapatkan jawapan tetapi memahami bagaimana sesuatu perkara berlaku dan bagaimana kita boleh menghasilkan penyelesaian yang lebih baik,” katanya.
Selain kecemerlangan akademik dan inovasi, Soon Jin turut aktif dalam kepimpinan pelajar sebagai Exco Pengantarabangsaan dan Exco Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PTSB.
Penglibatan tersebut membantu beliau membangunkan kemahiran komunikasi, kepimpinan serta memahami aspek pengurusan manusia.
Pengalaman pembelajaran beliau turut diperluaskan menerusi penyertaan dalam Program Perkongsian Ilmu di Shanghai, China selama tujuh minggu ketika menjalani latihan industri bersama Ultra Clean Technology (Malaysia) Sdn. Bhd.
Pemilihan tersebut dibuat berdasarkan prestasi akademik, kebolehannya berbahasa Mandarin serta kemahiran teknikal dalam bidang CNC.
Kini, beliau berkhidmat sebagai juruteknik di Ultra Clean Technology (Malaysia) Sdn. Bhd., Batu Kawan dalam bidang CNC dan Molding.
Selain kerjaya, beliau turut meneruskan minat dalam teknologi percetakan 3D sebagai usaha memperluaskan kemahiran dan persediaan ke arah impiannya menjadi jurutera yang pakar dalam bidang robotik.
Soon Jin berkata, pengalaman sepanjang berada di PTSB membentuk dirinya menjadi individu yang lebih yakin untuk terus meneroka ilmu dan kemahiran baharu.
“Nasihat saya kepada pelajar agar tidak hanya mengejar jawapan, sebaliknya memahami punca sesuatu masalah bagi membina keupayaan menyelesaikan cabaran sebenar.
“Fahami sebab sesuatu perkara berlaku, daripada situ kita akan belajar bagaimana untuk mengelakkan kegagalan dan membina penyelesaian yang lebih baik,” katanya lagi.
Kejayaan Soon Jin mencerminkan peranan pendidikan TVET dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdaya inovasi serta bersedia memenuhi keperluan industri masa kini. – SUARA.TV



