Syamsul, FINAS bertemu lerai isu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas berbalas kenyataan berhubung isu cetak rompak digital, Syamsul Yusof, 38, akhirnya bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim, baru-baru ini, bagi merungkai permasalahan dibangkitkan pengarah kontroversi itu.

Pada pertemuan diatur di Kompleks FINAS, Hulu Klang, Selangor, Syamsul optimis agensi kerajaan itu mampu membantu penerbit filem yang berdepan isu cetak rompak digital melalui perancangan strategik.

“Saya mengaku sebelum ini cukup lantang menyuarakan dua isu, iaitu cetak rompak digital dan duti hiburan. Malah, baru-baru ini, dua isu terbabit saya bangkitkan dalam sebuah forum.

“Alhamdulillah, menerusi pertemuan dengan FINAS, banyak inti pati dibincangkan dan hasilnya sangat positif.

“Saya bersyukur apabila mendapat tahu FINAS ada banyak perancangan terutama dalam membantu penerbit filem yang berdepan isu cetak rompak.

“Kami berkongsi visi yang sama. Saya harap, usaha FINAS akan dibantu penggiat industri perfileman lain.

“Sebagai seorang ahli akademik, saya lihat CEO FINAS (Md Nasir) berpandangan jauh. Saya harap beliau tidak berseorangan dalam mencapai visi itu,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Syamsul membangkitkan tindakan diambil FINAS dalam menangani isu cetak rompak digital yang didakwa terus menekan penerbit filem selain duti hiburan yang membebankan.

Syamsul berterima kasih kepada FINAS kerana sudi duduk semeja bagi membincangkan isu cetak rompak digital yang selama ini membelenggu penerbit filem tempatan.

Tambahnya, pertemuan itu diharap dapat membuka mata kerajaan untuk membantu penerbit yang semakin tertekan dengan isu lapuk tidak berkesudahan itu.

“Saya harap isu cetak rompak dapat dibawa kepada kerajaan agar undang-undang sedia ada menjadi lebih ketat. Jenayah cetak rompak digital berbeza dengan perlakuan sama dahulu.

“Saya juga berharap kerajaan dapat mengkaji semula kadar cukai hiburan 25 peratus yang dikenakan. Pulangan sudah kerajaan peroleh menerusi cukai syarikat dan individu.

“Jika dimansuhkan duti hiburan lagi bagus kerana jumlah yang dikenakan banyak dan amat membebankan pembikin filem,” katanya.

Md Nasir berkata, pada pertemuan itu, FINAS menyangkal dakwaan konon agensi itu mengambil sikap tidak peduli terhadap isu cetak rompak digital yang dibangkitkan Syamsul.

 

Syamsul dan ahli tertinggi PFM mengadakan pertemuan dengan Md Nasir bagi merungkai permasalahan dibangkitkan.
Syamsul dan ahli tertinggi PFM mengadakan pertemuan dengan Md Nasir bagi merungkai permasalahan dibangkitkan.

 

Md Nasir berkata, FINAS selama ini ‘mengunci mulut’ kerana dakwaan pengarah filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu adalah di luar bidang kuasa perbadanan itu.

“Selain mengeratkan silaturahim, pertemuan satu jam dengan Syamsul bertujuan memberi penjelasan terhadap pelbagai isu yang dibangkitkannya merangkumi cetak rompak digital dan duti hiburan.

“Apabila isu itu dibangkitkan dalam media diikuti saling berbalas kenyataan, ia merumitkan keadaan. Apatah lagi jika maklumat yang hendak disampaikan tidak jelas.

“Dalam hal cetak rompak digital, isu itu di luar bidang kuasa kami. Akta yang membabitkan isu hak cipta ada banyak dan membabitkan organisasi berbeza.

“Contohnya, Akta Hak Cipta 1987 terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Ada juga akta berkaitan hak cipta yang di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Md Nasir berkata, bidang kuasa FINAS hanya tertakluk pada pengeluaran lesen pengedaran filem.

“FINAS hanya boleh mengambil tindakan undang-undang jika ada pihak yang mengedar filem tanpa lesen sah. Selain itu, semuanya di bawah urusan organisasi dipertanggungjawabkan.

“Bagi duti hiburan pula, perkara itu tertakluk di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT). Alhamdulillah, Syamsul faham situasi itu selepas pencerahan dibuat,” katanya.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Penerbit Filem (PFM), Pansha dan Setiausaha Kehormat PFM, Zahrin Aris.

Md Nasir berkata, biarpun bukan tugas hakiki, FINAS tidak pernah berdiam diri, malah, berganding bahu dengan pihak berwajib mengekang jenayah cetak rompak digital daripada terus berleluasa.

“Dalam situasi ini, FINAS boleh memainkan peranan sebagai perantara iaitu untuk menjadi pihak yang melaporkan kejadian cetak rompak digital kepada badan berkaitan.

“Penerbit yang berdepan dengan jenayah siber ini boleh membuat aduan kepada kami menerusi portal FINAS dengan mengisi borang disediakan.

“FINAS proaktif dan menyimpan rekod untuk setiap langkah atau usaha yang dibuat selama ini bagi membantu mengekang perbuatan jenayah siber. Bukti itulah yang kita kongsi dengan Syamsul,” katanya.

Md Nasir berkata, Syamsul terkejut apabila mendapat tahu Studio Kembara Sdn Bhd turut membuat laporan berhubung isu cetak rompak filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang diarahkannya.

Md Nasir berkata, FINAS mengharapkan kerjasama penerbit untuk menggembleng tenaga dalam melancarkan perang ke atas jenayah cetak rompak.

“FINAS akan membuat poster khas, termasuk di portal rasmi untuk memaklumkan kepada penerbit filem agar membuat laporan jika filem mereka menjadi mangsa cetak rompak.

“Selain itu, FINAS menyarankan penerbit menggunakan kaedah blockchain, iaitu Non Fungible Token (NFT) sebagai satu cara untuk mengatasi masalah cetak rompak digital.

“Ketika ini, kaedah token digital ini masih dalam peringkat kajian daripada segi keberkesanannya. Bagaimanapun, saya lihat kaedah ini cukup berjaya, terutama di United Kingdom (UK),” katanya.

Bagi mengekang kes cetak rompak digital, penerbit boleh mengambil tindakan di bawah Akta 322 Bahagian VIA Antirakaman Kamera yang diselia KPDNHEP.

Mengikut perkara 43A, individu disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.

Undang-undang lain adalah Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987; Seksyen 232 (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 239 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat