KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen diberi masa sehingga 4 petang esok Rabu, 18 Ogos untuk menamakan seorang calon Perdana Menteri kesembilan.
Perkara itu disuarakan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kandungan surat akuan memilih calon Perdana Menteri kesembilan.
Surat itu dimuatnaik oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebooknya pada Selasa.
“Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan budi bicara Baginda di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Baginda Tuanku mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Surat akuan Yang Berhormat hendallah diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatanya pada Rabu, 18 Ogos sebelum jam 4 petang untuk perhatian Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong,” kata Azhar.
Menurut Azhar beliau hanya melaksanakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong untuk memberi notis kepada ahli-ahli Parlimen supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.