Kemalangan Di GP Austria: Hafizh Syahrin Selamat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dilaporkan mengalami lebam pada bahagian pinggul selepas terbabit dalam kemalangan mengerikan di awal perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring-Speilberg, hari ini.

Pelumba pasukan Aspar berusia 26 tahun itu dikejar ke pusat perubatan di litar tersebut dalam keadaan sedar selepas kemalangan itu.

“Lebam di bahagian pinggul tetapi imbasan pertama tidak menunjukkan keretakan besar. Dia akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” menurut tweet MotoGP.

Insiden kemalangan itu berlaku selepas pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini hilang kawalan di selekoh pertama dan terjatuh dengan meninggalkan jenteranya di tengah laluan sebelum Hafizh gagal mengelak dan melanggar motosikal pelumba Itali itu.

Kemalangan itu menyebabkan Hafizah melambung tinggi di udara dan jenteranya berkecai.

Kemalangan itu turut membabitkan beberapa pelumba lain iaitu Andi Izdihar (IDEMITSU Honda Team Asia) dan Edgar Pons (Federal Oil Gresini Moto2) dan perlumbaan itu terpaksa dikibarkan bendera merah sebelum saingan dipendekkan kepada 13 pusingan.

Sementara itu, pengasas pasukan, Jorge Martinez berkata amat menakutkan untuk melihat kemalangan itu tetapi doktor menyatakan Hafizh, yang dikenali sebagai ‘El Pescao’, sentiasa dalam keadaan sedar dan tiada sebarang kesan pada bahagian kepala.

“Mereka telah menjalankan pemeriksaan ultrasound pada bahagian perut serta imbasan CT seluruh badan dan pelumba itu tidak mengalami sebarang keretakan tulang.

“Mereka telah membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan kami gembira untuk mengumumkan bahawa pelumba itu sihat selepas kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali berkata pelumba itu berada dalam keadaan sedar dan hanya mengalami lebam.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat