PUTRAJAYA – Pengerusi Bersekutu Gabungan Suara Rakyat (GASURA) Datuk Seri Raj Manickam yang akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti sudah mula secara agresif bergerak bertemu rakyat dan bersama-sama orang ramai yang bermasalah untuk membantu mereka menyelesaikan kemelut yang dihadapi.
Baru-baru ini, ketika Persatuan Transformasi Awam Darat (TPAD) menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kewangan di Putrajaya, beliau ada bersama-sama dengan wakil persatuan berkenaan yang juga sebahagian daripada mereka adalah pemandu e-hailing.
Kehadiran Datuk Seri Raj dijemput oleh TPAD untuk sama-sama memberikan sokongan kepada pemandu e-hailing yang menuntut moratorium dari kerajaan ke atas bayaran insurans e-hailing yang dikenakan yang terlalu tinggi.
Beliau berkata beliau tidak perlu tunggu masa yang begitu dekat dengan pilihan raya untuk memulakan kerja kerana beliau bukan seorang calon wakil rakyat yang hanya tangkap muat tetapi beliau betul-betul mahu berkhidmat untuk rakyat.
“Kalau dilihat isu melibatkan kerja untuk orang ramai mencari rezeki perlu diberi perhatian kerana mereka akan keluar berjam-jam untuk mencari pendapatan tetapi terbeban dek pelbagai perkara yang perlu dibayar dengan kadar yang tinggi.
“Kerajaan mesti mengadakan perbincangan dan duduk bersama dengan syarikat e-hailing untuk mencari sebab mengapa kos yang begitu tinggi ini perlu dibayar oleh pemandu e-hailing yang hanya mahu mencari rezeki,” katanya ketika ditemui di Putrajaya selepas selesai penyerahan memorandum.
Katanya, isu ini bukan sahaja melibatkan pemandu e-hailing sahaja malahan penunggang motosikal penghantar makanan yang lebih teruk kerana terpaksa berpanas dan berhujan untuk selesaikan penghantaran untuk mendapat jumlah pulangan paling tinggi.
“Ada juga platform penyedia perkhidmatan ini mengenakan pelbagai jenis kiraan bayaran kepada penunggang tetapi mereka hanya dapat peratusan yang sedikit berbanding kerja yang teruk,” ujarnya.
Datuk Seri Raj turut menyuarakan kesedihan apabila ada penghantar makanan atau p-hailing yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
“Mereka perlu bergerak cepat untuk memenuhi penghantaran jadi risiko berlaku kemalangan amat tinggi,” katanya.
Turut hadir bersama beliau ialah dua orang usahawan yang turut merasai kesan akibat kenaikan harga bahan api baru-baru ini sehingga menjejaskan perniagaan mereka.
Pengusaha Bas dan Van Persiaran Mathan Kumar berkata pendapatan penyedia perkhidmatan bas sudah jauh berkurangan kerana mereka menggunakan diesel tanpa subsidi kerana tiada sistem subsidi diberikan kepada pengusaha bas persiaran.
“Kita mohon kerajaan memberikan sedikit subsidi seperti Budi dan kuota subsidi e-hailing untuk membantu sedikit kita dalam menjalankan operasi.
“Kalau dulu perjalanan ke Melaka dengan bayaran RM500 kepada pelanggan boleh dapat pulangan yang baik tetapi sekarang apa yang kami dapat amat kurang.
“Sebelum ini, jika bergerak sekitar Kuala Lumpur contohnya, saya perlu isi diesel kira-kira RM150 tetapi sekarang saya perlu isi RM300 untuk satu van,” katanya.
Kemudian, Kontraktor DM Maju Utama Dr Pouvan Raaj berkata industri pembinaan juga amat terkesan tanpa diesel subsidi dan kos untuk menjalankan kerja di tapak bina bersama jentera dan mesin meningkat banyak.
“Sebelum ini, sehari di sebuah tapak projek kita memerlukan 600 liter sehari untuk menjalankan kerja tetapi kini kita memerlukan 2,000 liter untuk menjalankan kerja,” katanya.


