KUALA LUMPUR – New Zealand menyatakan kesediaan untuk menyambut eksport produk pertanian Malaysia, khususnya buah-buahan tropika seperti nanas.
Bukan cuma itu, Menteri Pertanian, Perhutanan, Perdagangan dan Pelaburan New Zealand, Todd McClay menyatakan komitmen untuk membuka lebih banyak peluang pelaburan bagi syarikat Malaysia dalam sektor pembinaan di New Zealand.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pertanian, Perhutanan, Perdagangan dan Pelaburan New Zealand, Todd McClay di Wellington.
“Dalam pertemuan ini, saya menzahirkan kesediaan Malaysia untuk saling melengkapi dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana serantau.
“Todd McClay memaklumkan bahawa Kerajaan New Zealand mempunyai minat yang tinggi terhadap industri halal dan ingin menjadi rakan strategik Malaysia.
“Bukan hanya dari sudut pensijilan, tetapi juga sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN yang berpopulasi lebih 600 juta,” katanya.
Menurut Zahid lagi, secara keseluruhan, pertemuan ini mencapai satu kesepakatan strategik untuk memperluas hubungan perdagangan dua hala, termasuk penglibatan aktif New Zealand dalam platform seperti ASEAN-GCC-China Summit dan CPTPP, demi memperkasa integrasi ekonomi rantau Indo-Pasifik.
“Insya-Allah, dengan iltizam bersama, hubungan Malaysia-New Zealand bukan sahaja kekal utuh, malah akan terus berkembang sebagai model kerjasama strategik serantau yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara,” ujar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.



