Bung Moktar nasihati Rahman Dahlan henti ungkit kegagalan Langkah Kinabalu

KUALA LUMPUR – Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menasihat timbalannya Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan supaya berhenti mengungkit perkara lepas, khususnya berkait kegagalan ‘Langkah Kinabalu’ yang diketuai Bung pada 2023.

Bung berkata beliau menghormati pandangan Rahman mengenai perkara itu, terutamanya apabila timbalan pengerusi Umno Sabah itu menyifatkan tindakan itu sebagai satu kesilapan besar dan hanya melemahkan kedudukan parti di negeri itu, lapor Daily Express.

Bagaimanapun, Bung menegaskan tindakan menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, pada Januari 2023 bukan keputusan peribadinya, sebaliknya dibuat bersama kepimpinan Umno negeri.

Bekas timbalan ketua menteri itu berkata mereka telah menimbang segala implikasi sebelum bersetuju untuk menarik sokongan terhadap Hajiji.

Beliau menambah, perkara lalu perlu dihormati dan Umno Sabah sepatutnya ‘melangkah ke hadapan daripada terus terperangkap dalam episod lama’.

Sejak beberapa tahun lalu, Bung dan Rahman beberapa kali berbeza pendapat, termasuk tahun lalu apabila Rahman menjemput Hajiji ke satu mesyuarat bahagian yang turut dihadiri Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada Mac lalu, mereka sekali lagi saling berbalas kenyataan berkaitan di kawasan mana Rahman mungkin dicalonkan dalam pilihan raya negeri.

Namun, Bung berkata perkara itu sekadar ‘perbezaan pendapat’ yang menurutnya proses biasa dalam usaha memperkukuhkan parti di peringkat negeri, dan tidak menyebabkan perpecahan secara total.

Pada Mei lalu, Zahid turut memberi amaran supaya Umno Sabah tidak berpuak-puak, dengan berkata perbalahan dalaman merupakan antara punca parti itu tewas dalam PRU lalu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat