‘Malu lihat artis bertelagah, tunjuk perangai buruk’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aktres sensasi, Rita Rudaini, 45, menegaskan dirinya bukan antivaksin, sebaliknya hanya memberikan pendapat secara terbuka.

Jauh di sudut hati, pelakon filem Mami Jarum dan Balistik itu tidak pernah sesekali menghalang atau menghasut keluarga, rakan mahupun peminat mengambil untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Saya bukanlah antivaksin. Jika antivaksin, saya tidak akan bersetuju dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10, mendapat suntikan imunisasi sejak kecil.

“Sekiranya saya antivaksin, pastinya saya menolak pengambilan vaksin ketika mahu mengerjakan umrah. Saya juga pernah mengambil pelbagai vaksin sebelum ini.

“Ramai tidak faham apabila saya merebus cengkih, amalkan makan habbatus sauda dan sebagainya. Ramai menuduh saya antivaksin. Mereka hanya lihat daripada satu sudut, mereka tidak kaji dan selidik kenapa saya berkongsi perkara yang memberi manfaat pada kesihatan.

“Saya tidak pernah memuat naik hantaran di laman sosial menghasut jangan mengambil vaksin. Ahli keluarga dan ramai kawan baik sudah mengambil suntikan vaksin, tiada masalah pun.

“Sebagai contoh, jika anda suka warna biru, takkan nak suruh orang lain ikut suka warna biru,” katanya kepada BH Online.

Justeru, Rita menegaskan setiap orang mempunyai pendapat tersendiri, begitu juga dirinya mempunyai hak dalam menyuarakan pendapat.

Terdahulu, Rita mencuri perhatian warga netizen berhubung hak dan keterbukaan pengambilan suntikan vaksin dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Jika antivaksin, Rita Rudaini tidak akan bersetuju dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna mendapat suntikan imunisasi sejak kecil. - Foto IG Rita Rudaini
Jika antivaksin, Rita Rudaini tidak akan bersetuju dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna mendapat suntikan imunisasi sejak kecil. – Foto IG Rita Rudaini

 

Menerusi hantaran dalam Instagram (IG) Story, Rita mempersoalkan sesetengah orang memaksa ibu bapa yang sudah tua mengambil vaksin sedangkan mereka dalam keadaan uzur.

Jelas Rita, dia tidak menuding jari menyalahkan sesiapa membawa ibu bapa uzur mengambil vaksin.

“Apa yang saya katakan kerana ia berlaku di sekeliling saya. Ada insan memaksa orang tua mengambil vaksin, sedangkan mereka uzur, jauh sekali boleh bawa melancong.

“Maksud saya, jika orang tua tidak mahu mengambil vaksin, biarkan. Jangan dipaksa sebab mereka bukan boleh bergerak ke mana-mana pun.

“Namun, jika ibu bapa mahu mengambil suntikan vaksin, itu lebih baik. Itulah maksud saya.

“Ini disebabkan ada yang bergaduh dan bermasam muka antara adik beradik. Saya sebut berjalan ke Paris dan Milan hanya melawak, ia sebagai contoh sahaja. Namun, disalahertikan termasuklah rakan selebriti,” katanya.

Ekoran itu, Rita meluahkan perasaan kesal apabila ada di kalangan penggiat seni memperli dan mengapi-apikan netizen berhubung pendapatnya.

“Contohnya, seorang pengarah popular. Setiap isu mesti dia mahu buka mulut. Apa sahaja isu tular pasti mengajak orang mengutuk sama.

“Seperti isu IG Story saya, dia tidak meletakkan nama, tetapi memuat naik status ketika isu sedang tular, jadi siapa lagi yang disindir jika bukan saya?

“Apabila mengajak orang lain bersama mengutuk dan ada juga rakan artis turut mengata saya, bukankah itu kerja tidak sihat. Tidak perlulah ajak orang lain buat perangai keji.

“Dan saya memohon jangan memecahbelahkan kami sesama Islam. Jangan guna ayat seperti artis bodoh! Rakan industri juga tidak perlulah mengajak orang lain bertelagah.

“Apa pandangan orang luar apabila lihat antara artis sendiri bertelagah. Tidak malukah apabila masyarakat memandang kita berperangai buruk disebabkan kita sendiri yang menunjuknya?

“Kita kena jadi artis yang positif. Ramai artis mengambil vaksin dan tetap boleh berkongsi pendapat secara sihat dan terbuka. Seperti kes Ifa Raziah menolak mengambil vaksin Sinovac, biarlah. Dia ada alasan dan pendapatnya sendiri,” katanya.

 

Rita Rudaini kesal ada di kalangan penggiat seni memperli dan mengapi-apikan netizen berhubung pendapat secara terbuka mengenai vaksin. - Foto IG Rita Rudaini
Rita Rudaini kesal ada di kalangan penggiat seni memperli dan mengapi-apikan netizen berhubung pendapat secara terbuka mengenai vaksin. – Foto IG Rita Rudaini

 

Dalam pada itu, Rita juga menasihatkan orang ramai tidak menggunakan kata-kata kesat sehingga mengaitkan keluarganya.

“Jangan memaki, mengutuk, mencaci dan menghina anak-anak, ibu bapa dan keturunan saya. Ada juga mengaitkan saya dengan kisah silam seperti perkahwinan dengan bekas suami.

“Saya terima jika kutuk dan kecam saya. Namun, hati ini menjadi rapuh dan sedih apabila menggunakan perkataan seperti sundal, janda dan sebagainya. Ada yang menghantar caci maki menerusi mesej langsung dalam IG.

“Nak kata saya terkesan teruk dengan caci maki mungkin tidak. Sebab saya sudah melalui pelbagai kecaman buruk, namun saya juga manusia biasa, sedihlah juga apabila dihina seperti tiada maruah.

“Bagaimanapun, saya ambil semangat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Rasulullah pernah kena baling najis, tetapi masih mampu tersenyum. Saya pula baru kena caci maki, takkan mahu sedih, jadi saya ambil semangat dari situ untuk terus kuat,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat