76 Projek Naik Taraf Bekalan Air Felda Di Pahang Siap

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 76 pakej projek menaik taraf bekalan air dari tahun 2013 hingga 2018 di seluruh FELDA di Pahang sudah siap dan diserahkan kepada pihak berkuasa air di negeri itu.

Setakat ini, cuma lima daripada 81 projek keseluruhan FELDA di negeri itu yang belum diserahkan berikutan sedang melalui proses pengujian dan pentauliahan.

FELDA dalam satu kenyataan media hari ini, berkata tahap kemajuan bagi pelaksanaan projek menaik taraf sistem bekalan air di Pahang adalah 99.94 peratus bagi kesemua pakej ditawarkan.

“Bagi pelaksanaan projek menaik taraf sistem bekalan air FELDA negeri Pahang menerusi Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10), tahap kemajuan projek adalah 99.94% bagi 81 pakej yang ditawarkan.

“76 pakej sudah siap dan diserahkan kepada pihak berkuasa air negeri Pahang manakala baki 5 pakej selesai dibina dan dalam proses pengujian dan pentauliahan sebelum diserahkan,” katanya.

Kenyataan yang sama turut dimaklumkan status kemajuan terkini projek menaik taraf sistem bekalan air membabitkan FELDA di seluruh negara yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) adalah pada tahap 93.16 peratus.

Katanya, proses bagi menyelesaikan kesemua projek berkenaan bergantung kepada dana yang sedia ada.

“Kemajuan terkini adalah pada tahap 93.16 peratus berbanding sasaran 93.65 peratus bagi 70 pakej yang ditawarkan.

“Berdasarkan jumlah dana yang sudah disalurkan oleh kerajaan kepada FELDA, tarikh siap projek dianjakkan ke tahun 2022,” katanya.

Anjakan berkenaan katanya adalah selaras dengan pembentangan kemajuan projek yang dijalankan bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dari tahun 2016 sehingga 2020.

Selasa lalu, Jabatan Audit Negara melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2018 Siri 3 menegur dua projek menaik taraf bekalan air FELDA membabitkan peruntukan RM621 juta daripada kerajaan yang tidak dibuat secara berhemat sehingga ia lewat disiapkan dari tarikh asal.

Sementara itu, FELDA turut menjawab perkara lain yang turut didedahkan LKAN termasuk isu lebihan bayaran tuntutan levi.

Katanya, isu lebihan bayaran tuntutan levi Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi projek bekalan air di Pahang, merujuk kepada kos yang dituntut daripada kontraktor untuk urusan pembayaran levi CIDB termasuk kos pengangkutan, operasi, pengurusan syarikat dan sebagainya yang hanya 0.153 peratus daripada nilai kontrak.

“Bermula Ogos 2019, satu pekeliling baharu sudah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kerja Raya berkaitan item levi CIDB yang perlu ditanggung oleh kontraktor.

“FELDA kini mematuhi pekeliling itu dengan tidak lagi memasukkan kos levi CIDB ke dalam tender yang dikeluarkan,” katanya.

Kenyataan sama turut menjawab mengenai pembekalan tujuh buah kenderaan bagi projek menaik taraf bekalan air itu dan memaklumkan FELDA menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan bertarikh 7 Julai 2020 bagi pemilikannya.

Katanya, kenderaan terbabit kini digunakan bagi projek bekalan air yang masih berjalan.

Bagi isu pembayaran pejabat tapak (kabin) yang dikatakan tidak teratur, Felda berpandangan ia tidak sepatutnya timbul kerana sudah digantikan dengan sewaan bangunan pejabat untuk memastikan penyelarasan operasi yang lebih teratur.

“FELDA turut mengambil kira faktor keselamatan memandangkan kebanyakan tapak projek adalah di kawasan pedalaman dan terpencil di mana ia terdedah kepada risiko seperti rompakan dan pencerobohan.

“Memandang serius kepada faktor keselamatan ini, FELDA menggabungkan beberapa pejabat tapak projek dengan menyewa bangunan kedai sebagai ruang pejabat.

FELDA juga memastikan penggabungan serta penukaran dari konsep kabin pejabat ke konsep sewaan pejabat tidak mendatangkan sebarang tambahan kos berbanding kontrak asal dan perubahan ini mendapat kelulusan Pegawai Penguasa Projek.

Dalam perkembangan berkaitan , FELDA turut menjawab isu dua pakej di Loji Rawatan Air Bukit Sagu membabitkan pembinaan baru loji rawatan air dan juga sistem penyusupan tebing sungai (River Bank Filtration) yang dikatakan tidak beroperasi.

“Ia siap sepenuhnya dan kini dalam peringkat ujian dan pentauliahan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa air negeri Pahang.

“Kami sasarkan loji rawatan air dan juga sistem penyusupan tebing dapat memulakan operasi pada awal bulan September ini,” katanya.

FELDA turut berkata, pihaknya menerima cadangan penambahbaikan disarankan oleh LKAN untuk mengatasi kelemahan yang dibangkitkan.

“FELDA akan menjalankan siasatan dalaman dan mengambil tindakan terhadap pegawai yang terbabit jika terbukti berlaku kecuaian.

“Kami juga dalam proses mengkaji semula pemantauan terhadap projek supaya pentadbiran kontrak dan pengurusan pembinaan yang lebih rapi dan berkesan dapat diwujudkan,” katanya.

-Berita Harian-

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat