KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad tidak hilang kelayakan bertanding selama lima tahun susulan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan telah dimansuhkan pada tahun 2022.
Perkara 48(6) sebelum ini memperuntukkan seseorang Ahli Dewan Rakyat yang meletakkan jawatan secara sukarela hilang kelayakan untuk bertanding semula selama tempoh lima tahun.
Bagaimanapun, peruntukan tersebut telah dipadam menerusi Constitution (Amendment) (No. 3) Act 2022 semasa pindaan undang-undang anti lompat parti diluluskan Parlimen.
Teks pindaan itu secara jelas menyatakan:
“Article 48 is amended by deleting Clause (6).”
Pindaan sama turut memperkenalkan Perkara 49A berkaitan anti lompat parti yang menyebabkan seseorang Ahli Parlimen kehilangan kerusi sekiranya keluar daripada parti yang diwakili semasa pilihan raya.
Sebelum ini timbul perbahasan dalam kalangan pemerhati politik dan peguam sama ada tindakan Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa boleh menyebabkan mereka dikenakan larangan bertanding selama lima tahun.
Malah ada pihak berpandangan kedua-dua pemimpin itu sepatutnya hanya keluar PKR dan menyertai parti baharu tanpa mengumumkan peletakan jawatan supaya Speaker Dewan Rakyat boleh menentukan kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A.
Namun dengan pemansuhan Perkara 48(6), kedua-dua mereka tidak lagi berdepan sekatan sedemikian.
Semakan beberapa rujukan undang-undang dan firma guaman turut mengesahkan perkara tersebut.



