KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin akui kesal dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) menarik balik rayuan dalam kes yang melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini.
Tegas bekas Perdana Menteri itu, sepatutnya biarlah kes ini diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata lagi, sekiraya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan, iaitu untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai.
“Perlu diingat bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing. Maka titah Raja-Raja Melayu dalam hal ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan,” tegas Presiden Bersatu dalam kenyataan pada Rabu.
Merujuk situasi terdahulu sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada menteri daripada parti DAP yang meminta supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.
“Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah KDN menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah.
“Pendirian KDN pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang. Antara hujah utama KDN pada masa itu ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” ujarnya.
Kata Muhyiddin lagi, apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada tahun 2021, kerajaan PN pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes ini mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.
“Adalah menjadi kelaziman dalam mana-mana kes mahkamah, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.
“Keputusan untuk merayu ke Mahkamah Rayuan juga adalah selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor,” ujarnya.
Terdahulu, kebenaran penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama Kristian hanya terpakai di Sarawak dan bukan negeri-negeri lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sudah dijelaskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu khusus dalam kes di Sarawak sahaja.