PAS Kawasan Bertegas Enggan Beri Laluan Bersatu Tanding Parlimen Bagan Serai

- Advertisement -

CYBERJAYA – PAS Kawasan Bagan Serai hari ini menegaskan pendiriannya yang enggan menerima calon Bersatu bertanding di Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), lapor portal FMT.

“Kita tak terima beliau sebagai calon Parlimen Bagan Serai,” kata pemimpin PAS kawasan itu merujuk kepada hasrat Ketua Armada (Pemuda) Bersatu yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Menurut laporan itu, Yang Dipertua PAS Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid berkata, tindakan ketua Armada Bersatu itu mengumumkan secara terbuka untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai disifatkan tidak wajar.

Tegasnya, kehadiran Wan Fayhsal di kawasan Bagan Serai tidak mendapat mandat sama ada daripada Perikatan Nasional (PN) negeri mahupun pusat.

“Secara umumnya PAS kawasan Bagan Serai tidak akan memberi laluan kepada Wan Ahmad Fayhsal disebabkan beliau turun tanpa mandat PN negeri mahupun PN pusat untuk menyatakan beliau calon di Bagan Serai,” katanya.

Dalam pada itu, Aziz berkata, pihaknya sudah menyerahkan kertas cadangan untuk PAS bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai kepada presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, kepimpinan tertinggi PAS pusat telah menerima pandangan mengenai kedudukan kerusi Parlimen itu dan mereka akan membuat keputusan terbaik untuk PAS bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai.

“Ketika ini, jentera kita sentiasa bergerak bertemu dengan masyarakat dan bukan menunggu PRU semata-mata. Jentera kita juga mencukupi untuk melaksanakan tugas,” katanya.

Pada 14 Mei lalu, Wan Fayhsal mengakui kerusi Parlimen Bagan Serai adalah dalam senarai pilihannya untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, usaha menyantuni dan mendekati pengundi di kawasan berkenaan aktif digerakkan sejak dua tahun lalu termasuk memberikan bantuan semasa pandemik Covid-19 dan banjir.

Pemuda PAS Bagan Serai sebelum ini menerusi satu memorandum juga turut mendesak PN memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan pada PRU15.

Tuntutan itu dibuat berasaskan fakta kukuh, iaitu antaranya PAS kawasan mempunyai bilangan jentera, cawangan yang lebih kuat dan banyak, berbanding parti gabungan lain, kata laporan itu lagi.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai ketika ini adalah Dr Noor Azmi Ghazali daripada Bersatu, yang sebelum itu memenangi kerusi tersebut atas tiket BN.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat