Lagak ‘mak cik-mak cik’ jadi tarikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bagi industri perfileman Hollywood, kecenderungan memilih pelakon wanita berusia sebagai pemegang watak utama dalam sesebuah karya bukanlah asing.

Keterbukaan audiens menerima aktor tanpa melihat faktor usia dan rupa menjadi punca nasib pelakon yang meniti usia emas terbela.

Namun, lain pula yang berlaku dalam industri perfileman tempatan apabila peluang untuk pelakon berusia membawa watak utama sangat terhad. Kalau adapun, jumlahnya boleh dikira dengan jari.

Meskipun tidak banyak perubahan dan masih berlaku amalan pilih kasih ini, ada pihak yang percaya dengan karisma dan aura menawan pelakon wanita ‘otai’.

Ini dibuktikan menerusi pembikinan filem Tiga Janda Melawan Dunia yang menyaksikan empat pelakon berusia iaitu Khatijah Tan, Normah Damanhuri, Raja Azura dan Rosnah Mat Aris terpilih untuk menjadi bintang utama filem hasil sentuhan Hyrul Anuar itu.

Berkongsi kisah di sebalik pembikinan filem Tiga Janda Melawan Dunia, Hyrul mengaku sudah tergambar dalam fikiran watak utama dilakonkan Khatijah, Normah, Raja Azura dan Rosnah.

“Tidak dinafikan, apabila ramai yang dapat tahu saya memilih pelakon berusia untuk memegang watak utama, mereka memperlekehkan keputusan saya itu.

“Malah, mereka mencadangkan nama pelakon wanita yang lebih muda dan cantik kepada saya.

“Namun, saya tetap berpegang kepada keputusan asal. Saya mahukan watak yang mempunyai raut wajah Melayu dan bukan kacukan.

“Pada saya, gandingan mereka berempat ini sangat ‘mahal’. Diakui mereka ada aura menawan yang kita tak akan jumpa pada pelakon lain.

 

Antara tenaga kreatif di sebalik pembikinan filem Tiga Janda Melawan Dunia. Foto NSTP Aziah Azmee

 

“Saya sangat bersyukur kerana penerbit filem tidak menghalang hasrat saya memilih empat pelakon ini. Lagipun, kalau ada yang mengikuti hasil kerja saya, memang banyak saya bekerja dengan golongan mak cik-mak cik,” katanya kepada BH Online.

Selain mahu membawa anjakan baharu kepada dunia sinematik tempatan, Hyrul berkata, dia ada matlamat untuk memartabatkan golongan berstatus janda agar tidak terus dipandang negatif.

“Apabila saya ketengahkan pelakon warga emas sebagai bintang utama, matlamat saya adalah untuk membuka mata banyak pihak bahawa kelompok ini layak.

“Saya harap, apa yang saya lakukan ini akan menjadi contoh kepada pengarah lain.

“Jika filem ini berjaya mendapat sambutan menggalakkan, saya yakin akan ada banyak peluang yang akan menanti pelakon berusia.

 

Filem Tiga Janda Melawan Dunia mula ditayangkan di pawagam tempatan Khamis ini.

 

“Malah, lebih banyak syarikat produksi akan mengambil pelakon daripada kelompok ini untuk membintangi filem mereka,” katanya.

Hyrul berkata, watak janda yang dipaparkan berkisar kisah sebenar yang berlaku terhadap kakaknya yang juga berstatus janda.

“Ramai yang tidak tahu wanita yang berkahwin sebenarnya meletakkan masa depan mereka kepada suami.

“Apabila bercerai, mereka terpaksa memulakan kembali kehidupan seperti asal. Ia bukan suatu perkara mudah. Disebabkan itu, dalam karya ini, saya tonjolkan bagaimana tiga janda ini melawan dunia mereka.

“Selalunya, istilah janda sering dikaitkan dengan perkara negatif. Justeru, dalam naskhah ini, saya mahu mengangkat martabat janda.

“Saya bukanlah feminisme yang mahu memperkasakan wanita. Sebaliknya, saya hanya menjadikan status janda itu sebagai sesuatu yang cukup ‘mahal’,” katanya yang berpengalaman dalam dunia penerbitan iklan atau komersial.

Sementara itu, mengulas pembabitan dalam filem itu, Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku mengaku agak skeptikal dengan tawaran Hyrul yang dianggap tidak berpijak di bumi nyata.

“Ketika ditawarkan berlakon dalam filem ini, saya agak ragu-ragu. Saya bukanlah dalam kelompok pelakon yang mempunyai ramai pengikut media sosial dan sudah berusia.

“Malah, tawaran untuk membawa watak janda saya terima dengan perasaan sinikal.

“Namun, melihat kesungguhan dan kagum dengan semangat anak muda sepertinya yang mahu menghargai pelakon senior, saya terima tawaran itu dengan hati terbuka,” katanya yang membawakan watak Noraini.

Bagi pelakon Khatijah Tan, antara faktor yang membuatkan beliau menerima tawaran membawa watak Midah disebabkan karakter terbabit di luar zon selesanya.

“Saya banyak terima tawaran berlakon, namun terpaksa ditolak. Kebanyakan watak yang diberi sama dengan apa yang pernah saya buat sebelum ini.

“Namun, berbeza dengan watak yang ditawarkan Hyrul. Selepas membaca skrip dan diberi penerangan, tanpa banyak soal, saya terus terima tawaran itu.

“Watak Midah belum pernah saya lakonkan. Sebagai anak seni, jika kita dapat sesuatu watak yang mencabar kemampuan, kita akan buat biarpun ketika itu, keinginan untuk berlakon makin berkurangan,” ujar ibu kepada pelakon dan pengarah Pierre Andre ini.

Tiga Janda Melawan Dunia turut dibintangi Norman Hakim, Ellyza Azizi dan Abbas Mahmood.

Filem ini diterbitkan kerjasama lima syarikat iaitu Multimedia Entertainment, Directors Think Tank, Golden Screen Cinemas, Astro dan Six Fun Media.

Tiga Janda Melawan Dunia mula ditayangkan di pawagam tempatan Khamis ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat