KUALA LUMPUR – Harga telefon pintar keluaran Apple, iPhone dijangka akan melambung bahkan tidak mustahil boleh mencapai harga sebuah kereta jika tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terus dinaikkan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, komponen bagi pembuatan iPhone datang dari seluruh dunia, termasuk cip dari Taiwan, skrin dari Korea Selatan, bateri dari China, modem dan memori dari AS, storan dari Jepun dan kamera dari pelbagai negara, yang akhirnya dipasang di China.
Tengku Zafrul berkata, kos bagi sebuah iPhone adalah AS$549.73 (RM2,424) dan jika dikenakan tarif sebanyak 145 peratus, ia mungkin akan mencecah AS$1,400 (RM6,174).
“Jika dibuat sepenuhnya di AS, ada yang mengatakan ia boleh mencecah AS$3,500 atau RM16,000. Bila harga naik di AS, negara lain pun terkesan kerana harga iPhone global biasanya ikut harga AS.
“Terkini, AS sudah memberi pengecualian kepada komponen telefon pintar dan komputer, khususnya dari China. Legalah sekejap peminat iPhone kita tapi pengecualian ini pun tidak tahulah sampai bila kerana bila-bila masa Trump boleh naikkan balik tarif,” kata beliau melalui video di Facebook, lapor BH.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, harga iPhone dijangka meningkat antara 30 hingga 43 peratus susulan keputusan tarif oleh AS terhadap negara yang berdagang dengannya.
Menurut laporan itu, jika tarif berlanjutan Apple berdepan pilihan sukar sama ada menanggung kos berkenaan atau memindahkan kepada pengguna.
Sabtu lalu, AS dilaporkan mengecualikan telefon pintar, skrin komputer, cip dan komponen elektronik daripada dikenakan tarif dan ia terpakai kepada semua barangan elektronik yang dieksport ke AS.
Langkah ini diambil selepas pentadbiran Trump mengenakan tarif minimum sebanyak 145 peratus ke atas barangan dari China yang dieksport ke AS.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul, berkata Malaysia juga adalah komponen penting rantaian bekalan dunia dan antara eksport utama negara adalah semikonduktor.
Ketika pandemik COVID-19 katanya, kilang kenderaan Ford terpaksa menghentikan operasi kerana tidak mendapat bekalan cip dari Malaysia.
“Cip itu kecil saja tapi bila tiada, kilang besar pun tidak boleh jalan. Semua negara saling bergantung dan tiada satu negara pun yang semuanya dibuat sendiri.
“Tarif ini seperti kesesakan. Semua tersekat. Daripada pengeluar, pengguna sampailah pelabur. Perdagangan terbuka penting, terutama untuk negara perdagangan seperti Malaysia,” katanya.