10,874 unit rumah SASaR untuk warga ATM miliki rumah sendiri

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,874 unit rumah akan tersedia melalui tiga projek perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk pegawai, anggota lain-lain pangkat, veteran dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan (Mindef).

Pasukan projek SASaR akan terus mempergiatkan promosi kepada warga ATM melalui road tour mulai Mei hingga Disember ini di Markas-markas Formasi dan pasukan setempat di seluruh negara.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MinDef sempena lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke tapak projek perumahan SASAR Sungai Besi di Galeri Jualan PSV pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, Mohamed Khaled telah diberikan taklimat berkaitan projek perumahan SASaR yang sedang dibangunkan oleh kerajaan di Sungai Besi, Wardieburn dan Setapak.

Beliau berkata, projek-projek yang sedang berjalan ini adalah merupakan insiatif MinDef bagi memastikan setiap warga dan veteran ATM dapat memiliki rumah sendiri, selaras dengan objektif Pelan Strategik MinDef 2021-2025 di bawah Teras 3 iaitu ‘Pelestarian Kerjasama Warga Kerja Pertahanan’.

Katanya, status perkembangan projek SASaR di Sungai Besi adalah di tahap kemajuan yang sangat baik. Sehingga 12 April lalu kerja-kerja pembinaan telah mencapai kira-kira 65.51%, iaitu 21 hari lebih awal berbanding jadual.

“MinDef menjangkakan projek ini siap pada hujung tahun 2025. Ia akan menawarkan 3,500 unit rumah pangsa di kawasan seluas 11.95 ekar.

“Proses dokumentasi perjanjian jual beli telah bermula secara berperingkat sejak 2 Mei 2022,” katanya lagi.

Ujarnya, penyata terkini hingga 29 Februari lalu menunjukkan bahawa 3,395 pemohon telah menandatangani Perjanjian Jual Beli, 51 pemohon dalam proses menandatangani perjanjian, manakala 54 lagi menunggu kelulusan pinjaman.

“Selain itu, projek SASaR Wardieburn pula akan menyediakan 974 buah pangsapuri dengan keluasan 6.5 ekar tanah.

“Manakala projek SASaR Setapak pula menawarkan 6,400 unit pangsapuri di atas 69 ekar tanah. Kedua-dua projek ini dijangka bermula pada hujung tahun ini setelah mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” menurut kenyataan itu lagi.

Turut hadir, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman; Ketua Setiausaha MinDef, Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob; Panglima TUDM , Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Ketua Staf ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Hj. Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha MinDef (Pengurusan), Datin Roszanina Wahab. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat