Kem GenMADANI mampu lahirkan pelajar berpotensi, pelapis pimpinan negara masa hadapan – Fadhlina

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

SEREMBAN – Kem Generasi MADANI (GenMADANI) yang dirangka dengan pelbagai pengisian termasuk kepimpinan, demokrasi dan patriotisme sekali gus mampu melahirkan pelajar berpotensi menjadi pelapis pimpinan negara pada masa hadapan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata demikian selepas menghadiri Kem GenMADANI Pemimpin Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) peringkat kebangsaan di Dewan Utama, Klana Resort pada Selasa.

Fadhlina berkata, respons murid terhadap program itu sangat baik dan mereka menunjukkan iltizam tinggi untuk melakukan perubahan besar bagi memperbaiki isu berkait rapat dengan disiplin serta persiapan sebagai pemimpin.

“Pihaknya juga berkongsi beberapa aspirasi bersama, respons sangat baik dan mereka sangat teruja untuk sertai program ini, insya-Allah kita akan teruskan program ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Meluahkan keyakinan, Fadhlina berkata, pertanyaan-pertanyaan yang diajukan oleh mereka cukup ilmiah dan membuatnya menghela nafas kelegaan, kerana membayangkan bahawa negara kita tidak akan ketandusan bakat-bakat kepimpinan baharu yang bakal menakhodai nusa ini dalam pelbagai sektor dan peringkat.

“Saya rasa sungguh entusias dapat berinteraksi dengan anak-anak yang cukup energetik, cerdas dan cerdik, punya wawasan untuk membangunkan diri dan masyarakat, bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan berusaha sehabis mungkin dalam menggilap kepemimpinan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat KPM, Dr. Nurzali Ismail berkata, kem ini bertemakan ‘Adab dan Nilai Menjana Kepimpinan MADANI’ dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dihadiri seramai 256 orang murid daripada 61 buah SMKA dari seluruh Malaysia.

Menurut Dr. Nurzali, mereka terdiri daripada Ketua Umum, Penolong Ketua Umum, Ketua Badan Dakwah & Kerohanian (BADAR) dan Penolong Ketua BADAR SMKA, bermukim di sini selama empat hari tiga malam bermula 16 hingga 19 April ini akan melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Katanya, objektif kem ini, memberi pengetahuan berkaitan kepimpinan Rabbani iaitu kepimpinan yang berlandaskan wahyu Allah SWT serta membentuk adab, nilai dan integriti dalam kepimpinan berdasarkan Karamah Insaniah.

“Selain itu, memantapkan kemahiran komunikasi yang berkesan serta membentuk pemimpin murid yang mempunyai identiti nasional berkonsepkan Malaysia MADANI,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, Abu Hanipah @Fauzi Zahari ; Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum & Kesenian KPM, Zainuren Hj. Mohd Nor dan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Hj. Roslan Hussin.
– Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat