Malaysia Dijangka Alami Fenomena El Nino Hingga September Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Fenomena El Nino sedang dialami Malaysia yang menyebabkan hujan berkurangan, sekali gus berisiko mengakibatkan paras air sungai merosot dan empangan menjadi kering, dijangka berlarutan hingga September depan.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan negara berdepan El Nino selama lima bulan bermula April.

“Berdasarkan analisis dan pemodelan cuaca METMalaysia, fenomena El Nino yang melanda Malaysia dari April hingga September depan akan memberi impak negatif kepada Malaysia dengan menyebabkan berkurangnya kuantiti hujan.

“Ketersediaan air adalah isu kritikal, terutama ketika cuaca kering. Kebanyakan kali cuaca kering akan menyebabkan paras air sungai menurun dan empangan menjadi kering. Oleh itu, kuantiti air mentah yang boleh diolah akan berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BH hari ini melaporkan penduduk di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan bimbang dengan kemungkinan empat negeri itu berdepan isu ketidakcukupan air menjelang Aidilfitri, tidak lama lagi, berikutan cuaca panas serta peningkatan penggunaan air sepanjang perayaan itu.

Mengulas lanjut, NRECC memaklumkan, kementerian itu melalui agensinya seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah bersiap siaga untuk berdepan kemungkinan berlaku kekurangan bekalan air mentah di seluruh negara sepanjang tempoh itu.

Antara langkah diambil ialah memantau semua aras air sungai dan empangan yang membekalkan air mentah ke loji rawatan air (LRA), selain akan mengaktifkan Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP) untuk bekalan air jika aras air sungai serta empangan menjadi terlalu rendah.

Selain itu, katanya, NRECC turut meneroka semua sumber air bagi meningkatkan ketersediaan bekalan air mentah ketika musim kemarau, antaranya mengeksploitasi air bawah tanah atau tasik.

“Orang ramai digalak menjimatkan penggunaan air dalam kegunaan harian ketika cuaca kering, manakala industri dan pengguna komersial juga digalak melaksanakan langkah penjimatan seperti menggunakan air alternatif untuk operasi bukan-potabel.

“Dalam situasi kritikal, sekatan penggunaan air tidak penting mungkin dikenakan jika diperlukan, seperti penyiraman rumput dan taman, selaras Akta Industri Perkhidmatan Air yang mana menteri boleh memberi sekatan penggunaan air ketika kecemasan,” katanya.

Berhubung simpanan terkini air di empangan, NRECC memaklumkan hampir kesemua 24 empangan bekalan air di seluruh Semenanjung dan Labuan merekodkan paras penyimpanan di atas 80 peratus, kecuali Empangan Teluk Bahang, Air Itam di Pulau Pinang, dan Empangan Lebam, Upper Lanyang, dan Sembrong di Johor, serta Empangan Muda di Kedah yang mempunyai bekalan kira-kira 60 peratus.

Ketika situasi kecemasan, menurutnya, Empangan Mengkuang yang merekodkan penyimpanan air semasa sekitar 90 peratus, dapat mengalirkan air mentah ke LRA Sungai Dua dengan kapasiti rawatan sebanyak 1,228 juta liter sehari. LRA Sungai Dua membekalkan air kepada hampir 80 peratus pengguna di Pulau Pinang.

“Di Johor, Empangan Linggiu yang juga empangan bekalan air terbesar di Semenanjung, telah mencapai penyimpanan 100 peratus untuk mengawal aliran Sungai Johor yang mempunyai tujuh LRA utama.

“Pengurusan situasi kekurangan air ini akan turut membabitkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan METMalaysia untuk aktiviti pembenihan awan,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat