TANJONG KARANG – Prihatin kepada
mereka yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat telah menganjurkan Program Semarak Ramadan dengan kerjasama Gerakan Mahasiswa Tanjong Karang (GEMA) dalam usaha menyantuni golongan asnaf dan anak yatim sempena menyambut bulan Ramadan disamping mengeratkan silaturrahim di antara organisasi luar.

Majlis perasmian program ini telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, YB Tan Sri Noh Bin Hj Omar. Turut hadir sama dalam sesi perasmian ini adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Hj Mohd Shahrizal Sahri serta Mohd Mukhti Abd Rahman, Pengurus Jabatan Program YBR.

Sementara itu Noh berkata, program ini dilihat sebagaiinisiatif dalam memberi sedikit kebahagian kepada mereka yang tidak bernasib baik tatkala berdepan dengan pasca pandemik Covid-19 serta memberi sinar keceriaan dalam menyambut bulan Ramadan.

“Saya berharap lebih banyak program sebegini dapat diadakan dimana ia sekali gus dapat merapatkan lagi ukhuwah di antara organisasi luar dengan masyarakat sesama bangsa dan agama.”

Tambahnya lagi, program ini amat memfokuskan mereka yang tidak bernasib baik dan yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar.

Prihatin dengan mereka yang memerlukan, Datuk Hj Mohd Shahrizal Sahri berkata,
program yang melibatkan 100 orang peserta ini diharapkan dapat memberikan sedikit ilmu serta pengalaman kepada mereka dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang bulan Ramadan.

Di antara pengisian program adalah gotong-royong menyediakan bubur lambuk, majlis berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah, Solat Isya’ dan Tarawih, moreh, slot motivasi, Gerak Sahur, Qiamullai dan solat subuh berjemaah serta riadah.