RISDA perkukuh industri getah melalui Agenda Pembeli Utama, dijangka dapat tingkatkan pendapatan pekebun kecil – Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 17 Mac 2026 – Kerajaan terus memperkukuh industri getah negara melalui pendekatan strategik dan bersepadu dengan memperkasakan peranan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebagai Pembeli Getah Utama (anchor buyer).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan kemampanan sektor komoditi getah negara khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti pekebun kecil.

Menurut beliau, menerusi pelaksanaan inisiatif ini, purata harga belian getah oleh RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) dijangka meningkat daripada sekitar RM3.00 kepada RM3.70 sekilogram.

“Sebelum ini, harga getah di peringkat ladang hanya sekitar RM3.00 sekilogram menyebabkan pekebun kecil berkeluasan satu hektar memperoleh kira-kira RM750 sebulan. Dengan peningkatan harga ini, purata pendapatan bulanan pekebun kecil dijangka meningkat kepada RM1,387.50,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, peningkatan tersebut memberi tambahan kira-kira RM387.50 sebulan atau RM4,650 setahun bagi setiap pekebun kecil. Bagi kebun seluas 1.5 hektar, pendapatan dijangka mencecah RM1,708 sebulan manakala bagi keluasan dua hektar ke atas berpotensi mencapai sekitar RM2,278 sebulan.

Inisiatif ini dilaksanakan melalui Program Pengeluaran Getah dengan pelantikan RPSB sebagai agen pelaksana bagi pembelian getah secara runcit dan berkelompok. Pelaksanaan tersebut berlandaskan Akta RISDA 1972 (Akta 85) yang memberi ruang kepada RISDA memainkan peranan lebih aktif dalam rantaian perdagangan getah negara.

RISDA turut memperkenalkan pendekatan lebih telus termasuk penetapan potongan harga maksimum di Semenanjung, penambahbaikan insentif berasaskan output, rundingan harga lebih kompetitif dengan kilang pemprosesan serta pemanfaatan 181 depo pengumpulan sedia ada di seluruh negara.

Bagi kawasan tanpa kemudahan depo, perkhidmatan Pemasaran Getah Bergerak turut diperkenalkan bagi memudahkan urusan pekebun kecil.

Sejak pelaksanaan aktif pada awal Januari 2026, RISDA telah berjaya membeli dan mengumpul sebanyak 1,197.77 tan metrik getah pekebun kecil dengan nilai belian terkumpul RM3.79 juta setakat Februari.

Ahmad Zahid berkata, dasar tersebut dijangka memberi impak signifikan kepada negara dengan pengeluaran getah domestik berpotensi meningkat sehingga 75 peratus dengan sasaran kutipan 300,000 tan metrik pada tahun ini, sekali gus menyumbang sekitar 29 peratus kepada keperluan domestik.

Langkah berkenaan juga penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah asli yang dianggarkan bernilai RM7.6 bilion pada 2024.

Menurut beliau, inisiatif RISDA sebagai Pembeli Getah Utama merupakan langkah strategik untuk mengangkat semula martabat industri getah negara, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, meningkatkan pendapatan rakyat desa serta memastikan sektor komoditi tersebut kekal berdaya saing.

Kerajaan, katanya, komited memastikan agenda memakmurkan lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara dapat direalisasikan selaras dengan Aspirasi Desa MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi dan pembangunan yang saksama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat