PUTRAJAYA — Malaysia mencatat sejarah baharu dengan merekodkan lebih 42.19 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2025, menjadikan ia sebagai angka tahunan tertinggi dalam sejarah negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Malaysia menerima 42,196,892 pelawat antarabangsa tahun lalu, meningkat 11.2% berbanding 2024 dan 20.4% lebih tinggi berbanding ketika pra pandemik tahun 2019.
Menurutnya pencapaian itu mencerminkan keyakinan kukuh pelawat terhadap Malaysia serta hasil usaha bersepadu kerajaan dan industri dalam memulihkan sektor pelancongan.
“Rekod ini membuktikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelawat antarabangsa, sekali gus mencerminkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap keunikan produk pelancongan negara serta keberkesanan strategi pemulihan yang dilaksanakan.
“Ia juga menggambarkan usaha bersepadu antara kerajaan, pemain industri dan rakyat dalam menghidupkan semula sektor pelancongan selepas pandemik, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas pelancongan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, Singapura kekal penyumbang terbesar dengan lebih 21 juta pelawat, diikuti China (4.66 juta) yang mengatasi Indonesia (4.26 juta) buat pertama kali sebagai pasaran kedua terbesar.
“China mencatat pertumbuhan paling kukuh dalam kalangan pasaran utama dan kini muncul sebagai pasaran kedua terbesar Malaysia, didorong oleh peningkatan kesalinghubungan udara serta permintaan perjalanan yang semakin pulih.
“Perkembangan ini menunjukkan perubahan signifikan dalam landskap pelancongan negara dan membuka ruang lebih besar untuk Malaysia memperkukuh kehadiran dalam pasaran tersebut,” katanya.
Tambahnya Malaysia turut merekodkan pertumbuhan kukuh dari ASEAN dengan lebih 30.7 juta pelawat, manakala India mencatat 1.56 juta pelawat, sekali gus membantu Asia Selatan melepasi dua juta pelawat buat pertama kali.
“Pertumbuhan berterusan dari pasaran India dan Asia Selatan membuktikan potensi besar rantau tersebut sebagai penyumbang utama kepada sektor pelancongan Malaysia.
“Ia sekali gus membantu memperluas kepelbagaian pasaran pelawat dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional,” katanya.
Dalam masa sama, Malaysia merekodkan 169,877 penerbangan antarabangsa dengan lebih 34.2 juta tempat duduk pada 2025, disokong oleh 89 laluan baharu melibatkan 23 negara dan 11 lapangan terbang.
“Kesalinghubungan udara yang kukuh dan stabil merupakan pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan, selain memastikan akses ke Malaysia terus dipertingkat dari pelbagai destinasi antarabangsa.
“Ia juga mencerminkan keyakinan tinggi syarikat penerbangan terhadap potensi pasaran Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini,” katanya.
Katanya, secara keseluruhan, 21 negara dan wilayah masing-masing menyumbang lebih 100,000 pelawat, manakala 104 laluan antarabangsa menawarkan lebih 100,000 tempat duduk setahun.
“Pencapaian ini merupakan yang tertinggi pernah direkodkan dan menunjukkan permintaan kukuh terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan pelawat antarabangsa.
“Ia turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing dan terus berkembang di peringkat serantau dan global,” katanya.



