KUALA LUMPUR – Had maksimum khidmat Perdana Menteri kepada 10 tahun disifatkan seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam gagasan ‘Membangun Negara Madani’ kerana ia bukan perkara baharu.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, langkah tersebut bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih serta sistem yang lebih teratur dan mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Malah katanya terdapat juga beberapa negara yang telahpun melaksanakan pendekatan ini seperti negara jiran Indonesia
sebagai contoh.
“Selain daripada itu, langkah mengehadkan tempoh keperdanamenterian seseorang pemimpin juga mengambil kira landskap geopolitik hari ini dan masa depan yang memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas-nafas baharu dan barisan pelapis kepimpinan negara.
“Perdana Menteri turut mengingatkan segelintir pihak daripada blok pembangkang agar tidak menjadikan niat murni ini sebagai bahan politik perkauman sempit dan dangkal.
“Roh dan sifat jawatan perdana menteri itu sudah terang lagikan bersuluh seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mengehadkan tempoh jawatan itu nyata tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas tersebut. Malah, ia adalah langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara,” ujarnya.
Sementara itu katanya, Perdana Menteri turut meminta mana-mana Ahli Parlimen yang mempersoal perkara ini supaya membaca sebelum mengkritik secara semberono.
“Baca dan hadam buku tulisan Anwar Ibrahim yakni ‘Membangun Negara Madani’. Sila rujuk muka surat 181, di bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik.
“Justeru, Perdana Menteri menyarankan agar ia dibahaskan dengan sihat dan penuh rasa tanggungjawab serta memandang kepada cabaran masa hadapan selain menjemput semua pihak untuk memberikan input ke arah
sebuah sistem yang telus dan adil,” kata beliau.