Anwar Tiba-Tiba Sensitif – Sanusi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan adalah tidak munasabah dan menghairankan seorang politikus seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gemar menuduh politikus-politikus lain dengan gelaran seperti “penyamun” , “bodoh” dan pelbagai lagi tiba-tiba sensitif apabila parti lawan memberikan komen dan kritikan berdasarkan latar belakang beliau yang dianggapnya sudah diketahui umum.

Sanusi mendakwa ucapannya semasa berkempen dalam PRU15 lalu berdasarkan rekod awam mengenai kes Liwat 1, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perkara lain yang berkaitan moral.

Dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah dikemukakan Ahli Parlimen Tambun itu, Sanusi berkata dia bersedia untuk membuktikan di mahkamah kandungan ucapan dibuatnya merujuk kepada kenyataan Mahkamah Persekutuan 2004.

Menurut dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 13 Februari lalu – dan dilihat Malaysiakini – Sanusi berkata pembelaan itu membabitkan justifikasi, keistimewaan yang layak, dan ulasan yang adil.

Justifikasi adalah pembelaan bahawa kenyataan atau dakwaan yang dibuat berdasarkan fakta, dan jika terbukti di mahkamah, ia akan menjadi pembelaan mutlak terhadap tindakan fitnah yang dikenakan.

Defendan (Sanusi) mendakwa plaintif (Anwar) sendiri telah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap parti lain sepanjang tempoh kempen PRU15.

“Oleh yang demikian, adalah tidak munasabah dan menghairankan untuk seorang politikus seperti plaintif (Anwar) yang suka menuduh politikus-politkus lain dengan kata-kata seperti “penyamun”, “bodoh” dan pelbagai lagi tiba-tiba sensitif apabila parti lawan memberikan komen dan kritikan berdasarkan latar belakang beliau yang sudah diketahui umum.

“Plaintif tidak seharusnya menjadi seorang yang mudah tersinggung (thin skinned) terutamanya ketika kempen pilihan raya memandangkan plaintif sendiri bersikap suka menuduh,” katanya.

Sementara itu dalam jawapan yang difailkan pada 13 Mac, Anwar mendakwa bukan sahaja sandaran Sanusi terhadap isu Liwat 1 dan tentang pemecatannya sekadar khabar angin, bahkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018 telah memadam sepenuhnya sabitan serta hukuman terdahulu.

“Plaintif adalah seorang yang tidak bersalah. Sebarang kenyataan lanjut yang dibuat berhubung perkara sama adalah bersifat fitnah dan boleh boleh diambil tindakan,” katanya.

Anwar menegaskan rekod jenayah – termasuk penghakiman yang dilaporkan – tidak boleh dikemukakan dalam prosiding mahkamah sivil untuk saman tindakan fitnah yang berlangsung itu kerana ia dilarang oleh Akta Keterangan 1950.

Plaintif juga berhujah Sanusi subjudis apabila cuba membawa masuk tindakan sivil Yusoff ke dalam tindakan undang-undang sekarang.

Di bawah undang-undang, sub judice merujuk kepada perkara yang masih dipengerusikan oleh mahkamah dan oleh itu tidak boleh dibawa ke perbincangan umum di tempat lain.

Anwar diwakili peguam Sankara Nair manakala Yusfarizal Yussof bertindak bagi pihak Sanusi.

Tindakan sivil itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Isnin depan.

Sebelum ini Anwar mengemukakan tindakan sivil ekoran atas ucapan Sanusi di kawasan parlimen Tambun pada 13 Nov tahun lepas ketika dia berkempen untuk memenangkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di situ.

Sanusi mendakwa antara fakta yang diketahui umum ialah Anwar dipecat daripada Kabinet oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 kerana isu moral.

Kenyataan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad di Mahkamah Persekutuan pada 2004 pula menyatakan “terdapat bukti” untuk mengesahkan Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual dan panel hakim cenderung untuk mempercayai insiden didakwa berlaku di Tivoli Villa “memang berlaku kadang-kadang”.

Abdul Hamid bagaimanapun berkata mahkamah hanya boleh membuat sabitan jika pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan didakwa itu melampaui keraguan munasabah.

Anwar sebelum ini mengemukakan permohonan undang-undang untuk meminta mahkamah tertinggi menghapuskan kenyataan itu namun ditolak.

Sanusi juga merujuk kepada sabitan Anwar atas kesalahan salah guna kuasa dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun, yang dikekalkan oleh mahkamah tertinggi negara pada 2002.

Defendan turut merujuk kepada tindakan sivil yang sedang dijalankan oleh bekas pegawai penyelidik Anwar, Muhammad Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual.

Sanusi menambah Anwar tersalah faham konteks ucapannya kerana ia tidak dilakukan kerana niat jahat untuk memfitnah di hadapan khalayak umum sebaliknya sekadar mengkritik perdana menteri terbabit berdasarkan fakta yang diketahui secara meluas.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat