UMNO Rasa Ini Masanya Untuk PRU-15, Tapi Tetap Hormat Keputusan Agong – Zahid

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian parti bagi untuk terus mendapatkan mandat baru rakyat menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kata beliau selaku ketua parti, desakan PRU-15 adalah perancangan politik namun pada hakikatnya Perlembagaan Negara dan kuasa Yang di-Pertuan Agong hendaklah dihormati.

“Seluruh UMNO bahagian di dokong oleh UMNO Perhubungan Negeri memperlihatkan kesiapsiagaan bagi terus menggerakkan jentera terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

“Terutamanya apabila ketiga-tiga sayap menyebutkan bahawa mandat baru rakyat hendaklah diperolehi dalam jeda waktu tertentu atas nasihat daripada Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan daripada baginda.

“Namun, sebagai ketua parti ianya ialah suatu perancangan politik. Hakikatnya, Perlembagaan Negara dan kuasa Tuanku hendaklah dihormati,” kata Zahid pada sidang media di laman media, WTC pada Khamis.

Menurut beliau lagi, tentunya suara akar umbi akan terus didengar dan UMNO mengharapkan mandat baru ini akan didukung.

Hal ini ujar Zahid sudah sampai saat dan waktunya dan kesesuaian beberapa aspek yang telah difikirkan secara mendalam.