KUALA LUMPUR,– Majoriti kepimpinan utama Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tampil menolak sebarang naratif perpecahan dalam sayap tersebut, sebaliknya menegaskan sokongan penuh kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kumpulan tersebut yang mewakili 17 daripada 24 Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Srikandi Malaysia, 11 daripada 14 Ketua Srikandi Negeri, serta Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap Srikandi Malaysia menegaskan kesetiaan mereka kepada parti dan kepimpinan Presiden yang dipilih secara sah.
Menurut kenyataan itu, mereka kekal setia mempertahankan institusi Presiden serta berdiri teguh di belakang Muhyiddin sebagai Presiden yang sah dipilih melalui Perhimpunan Agung parti.
“Kami ingin menegaskan pendirian kami adalah jelas, kami kekal setia kepada parti, mempertahankan institusi Presiden, serta berdiri teguh di belakang Tan Sri Presiden sebagai Presiden yang sah dipilih melalui Perhimpunan Agung parti,” menurut kenyataan tersebut.
Kepimpinan Srikandi turut memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk melemahkan kepimpinan parti melalui tekanan terbuka, naratif perpecahan atau gerakan tersirat adalah tidak beretika dan bercanggah dengan semangat perjuangan parti.
Mereka menegaskan bahawa semua keputusan berkaitan hala tuju sayap dan parti perlu dibuat melalui saluran rasmi, proses musyawarah dan struktur kepimpinan yang sah, bukan melalui kenyataan individu atau tindakan unilateral yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh barisan kepimpinan utama Srikandi termasuk Naib Ketua Srikandi, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Bendahari Srikandi, Jumiah Joned; Ahli Jawatankuasa Srikandi Rapia’ah Ngah, Nurulhuda Md Yunus, Noor Jeehan Adam, Noor Azah Harun (Ketua Srikandi Negeri Sembilan), Rahimah Majid (Ketua Srikandi Negeri Sabah), Rohana Ghazali, Juliana Abdul Ghani, Zarina Abdullah, Nor Izzatun Udda Mohamed (Ketua Srikandi Wilayah Persekutuan), Borkes @ Balkisbt Haji Kalnggalan, Puteri Holijah Muhammad Rali, Zeti Zanariah Masiran, Najwah Halimah Ab Halim, Isfarina Mohd Bali; serta Pengerusi Tetap Srikandi, Neng Hayati Hayatullah Md Ali dan Timbalan Pengerusi Tetap, Siti Farah Abu Hassan.
Turut menyatakan sokongan ialah Ketua-Ketua Srikandi Negeri iaitu Alwiyah Talib (Johor), Shamsilah Siru (Kedah), Yuyunhani Mohd Yusof (Pulau Pinang), Rosniza Ismail (Perak), Sharifah Rosaliza Syed Othman (Selangor), Nor Hafizah Dewa (Pahang), Norma Mamat (Terengganu) dan Susie Shelly Anak Minggu (Sarawak).
Kepimpinan Srikandi turut menolak budaya politik yang mencetuskan polemik terbuka sehingga mencalar imej parti, sambil menyeru seluruh ahli di semua peringkat supaya kekal bersatu dan tenang dalam menghadapi situasi semasa.
Kenyataan itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kestabilan dalaman Bersatu ketika parti berdepan kemelut kepimpinan susulan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin kanan baru-baru ini.
Perkembangan tersebut menunjukkan majoriti kepimpinan struktur Srikandi kekal berdiri di belakang Muhyiddin, sekali gus menolak sebarang gambaran bahawa sayap itu berpecah secara institusi.



