PM Seru Rakyat Pelihara Keharmonian Sempena Tahun Baharu Cina

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar terus memelihara keharmonian dan semangat muhibah sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri berkata Tahun Baharu Cina sentiasa mengingatkan rakyat tentang nilai kemakmuran, harapan serta kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.

Menurut beliau, Tahun Kuda yang disambut kali ini melambangkan ketekunan, keberanian dan semangat juang, namun dalam masa sama menuntut kebijaksanaan serta kesederhanaan dalam setiap tindakan.

Beliau turut memetik ajaran tokoh falsafah terkenal, Confucius, bahawa keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

“Tatkala wacana awam semakin mudah diganggu emosi dan hasutan, kita tidak boleh membiarkan perbezaan pandangan meretakkan hubungan serta menghakis rasa percaya yang telah terbina antara rakyat Malaysia sejak sekian lama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan seharusnya menjadi ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan.

Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan terus melangkah gagah sekiranya keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama oleh seluruh rakyat.

Beliau turut menzahirkan ucapan “Gong Xi Fa Cai”, “Xin Nian Kuai Le” dan “Ma Nian Xin Da Yun” kepada masyarakat yang meraikan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat