KUALA LUMPUR, — Pendakwah terkenal, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menghalang dan merampas reruai program dakwah Islam kendalian pertubuhannya, Multiracial Reverted Muslims (MRM), di kawasan Bukit Bintang, semalam.
Menurut beliau, tindakan tersebut dilaksanakan oleh kira-kira 12 pegawai penguat kuasa DBKL pada hari cuti Tahun Baharu Cina, yang hadir untuk menutup serta merampas bahan dan peralatan Street Dakwah MRM di lokasi berkenaan.
Firdaus Wong berkata, program Street Dakwah itu telah dijalankan secara konsisten di kawasan tersebut sejak 14 tahun lalu tanpa sebarang gangguan atau keperluan permit, memandangkan ia bukan aktiviti jualan dan tidak menghalang laluan awam.
“Selama 14 tahun MRM adakan Street Dakwah di sana, berpuluh jikalau bukan beratus kali polis dan DBKL lalu serta ziarah reruai MRM.
“Pernah ditanya adakah MRM perlu mohon lesen atau permit melakukan Street Dakwah dan jawapannya adalah tiada keperluan kerana MRM tidak melakukan aktiviti jualan serta tidak mengganggu lalulintas,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Bagaimanapun, beliau mendakwa dalam operasi terbaru itu, pegawai DBKL telah meminta permit penggunaan lokasi dan bertindak merampas reruai serta bahan dakwah milik MRM.
Menurut beliau, program sama turut diadakan pada Ahad lalu di lokasi tersebut tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa, walaupun pegawai DBKL dan polis dilihat berada di kawasan berkenaan.
Firdaus Wong turut mempersoalkan mengapa hanya reruai MRM diambil tindakan sedangkan terdapat pihak lain yang didakwa turut menggunakan kawasan kaki lima bagi tujuan lain.
“Barangkali semua yang lain ada permit atau lesen mengubahsuai, meletak barangan di kaki lima dan membuat jualan, hanya MRM tiada kebenaran dan permit,” katanya.
Beliau juga mendakwa terdapat individu berpakaian tertera perkataan ‘Security’ yang memaklumkan bahawa DBKL telah memberikan hak kepada pihak tertentu untuk menguruskan lokasi berkenaan.
Dalam masa sama, Firdaus Wong menegaskan beliau tidak percaya tindakan tersebut merupakan tindakan balas terhadap kelantangannya dalam isu lain, sebaliknya menyatakan keyakinan bahawa DBKL bertindak secara profesional.
Sehingga kini, pihak DBKL belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan penguatkuasaan tersebut.
Multiracial Reverted Muslims (MRM) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diasaskan oleh Firdaus Wong dan aktif menjalankan aktiviti dakwah jalanan di kawasan awam, khususnya di sekitar ibu negara.



