Rafizi gesa Azam Baki digantung, hairan disiasat pelaburan bukan libat dana awam

KUALA LUMPUR, – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digantung serta-merta, sambil menyatakan kehairanan mengapa beliau disiasat berhubung pelaburan yang tidak melibatkan dana awam atau perolehan kerajaan.

Rafizi berkata siasatan terhadapnya berkisar kepada dua dasar utama kerajaan ketika beliau mengetuai Kementerian Ekonomi, iaitu Program Visi Silikon yang melibatkan kerjasama strategik dengan syarikat semikonduktor global ARM, serta Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang membuka ruang kepada pelaburan tenaga boleh baharu oleh pihak swasta.

Menurut beliau, kedua-dua inisiatif tersebut merupakan dasar kerajaan yang diluluskan melalui proses rasmi termasuk rundingan antara kementerian, semakan Jabatan Peguam Negara dan kelulusan Jemaah Menteri, serta tidak melibatkan sebarang perolehan oleh Kementerian Ekonomi.

“Kementerian Ekonomi bukan kementerian pelaksana. Ia kementerian yang merancang dan tidak ada kuasa untuk mengendalikan perolehan atau kontrak sebegini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rafizi turut menegaskan bahawa projek tenaga boleh baharu yang kini menjadi asas tuduhan terhadapnya merupakan pelaburan swasta sepenuhnya, termasuk projek oleh UEM Lestra yang melibatkan pelaburan berbilion ringgit tanpa menggunakan dana kerajaan.

“NETR tidak melibatkan dana awam untuk membina projek-projek. Apa-apa keputusan komersial yang dibuat oleh syarikat swasta tidak ada kena mengena dengan kerajaan, apatah lagi perolehan awam,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu menimbulkan persoalan serius mengapa SPRM membuka siasatan terhadap beliau, sedangkan tiada bukti kebocoran dana awam atau unsur rasuah yang melibatkan dirinya atau kementerian yang pernah dipimpinnya.

Dalam masa sama, Rafizi memberi amaran bahawa kegagalan menggantung Azam Baki ketika integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dipersoalkan berisiko membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan negara.

“Keadaan ini membuka ruang kepada risiko salah guna kuasa apabila SPRM dijadikan senjata untuk menyerang pihak-pihak yang mempersoalkan beliau,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan segera bagi memastikan integriti SPRM terus terpelihara dan mengelakkan sebarang persepsi konflik kepentingan dalam siasatan yang sedang berjalan.

“Sebab itu, tindakan sewajarnya ialah menggantung tugas Tan Sri Azam Baki serta-merta,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat