PETALING JAYA: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim, menjadi sasaran kemarahan seorang individu pada majlis makan malam bagi menghargai veteran parti, Lim Kit Siang, malam Sabtu.
Menurut laporan Malaysiakini, seorang lelaki yang dipercayai pembantu kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, didakwa mengeluarkan kata-kata kasar terhadap Sim dan menggelarnya sebagai pengkhianat.
Sim, yang disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang akan datang, dikatakan hanya membalas tindakan itu “dengan senyuman.”
Saksi kejadian menyatakan bahawa insiden berlaku ketika Sim sedang bersalaman dengan penyokong. Lelaki berkenaan menghampiri Sim dan memarahinya selama hampir 10 saat, selain menuduhnya cuba menjatuhkan Guan Eng.
Bagaimanapun, Sim kekal tenang dan menegaskan bahawa fokus utama majlis adalah untuk menghargai Kit Siang.
“Itu yang paling penting bagi saya. Semua perkara lain tidak penting,” katanya.