KUALA LUMPUR, 16 Feb. – Jakel, gedung tekstil terkemuka negara, terus mengambil langkah proaktif dalam menghargai pelanggan setianya dengan meneruskan acara Meet & Greet bersama duta-duta jenama mereka. Program ini bukan sekadar strategi pemasaran tetapi satu inisiatif untuk memperkukuh hubungan dengan pelanggan yang telah lama menyokong jenama Jakel.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, acara ini mendapat sambutan luar biasa sejak pelancarannya, mendorong pihaknya untuk mengadakan sesi tambahan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan menikmati faedah eksklusif, termasuk baucar diskaun khas untuk koleksi pakaian Raya Aidilfitri.
“Meet & Greet bukan hanya sekadar acara bertemu duta, tetapi ia juga adalah peluang untuk kami berinteraksi secara langsung dengan pelanggan. Kami mahu mereka merasakan bahawa mereka bukan sekadar pembeli, tetapi sebahagian daripada keluarga besar Jakel,” katanya.
Lebih menarik, pelanggan yang membeli-belah pada hari ini juga berpeluang menerima baucar diskaun tambahan yang akan diedarkan sendiri oleh duta-duta Jakel. Namun, baucar ini hanya sah digunakan untuk pembelian pada hari ini sahaja, memberikan insentif eksklusif kepada pelanggan yang hadir untuk mendapatkan koleksi pakaian mereka dengan harga lebih berpatutan.
Selain itu, Jakel turut mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan ruang niaga yang lebih luas dan berwajah baharu di aras tiga Jakel Mall. Ruangan ini menampilkan koleksi pakaian sedondon yang lebih pelbagai, meliputi remaja, kanak-kanak serta ibu-ibu. Usaha ini sejajar dengan misi Jakel untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih selesa, termasuk kemudahan seperti parkir luas, tempat solat dan tandas yang selesa.
Dalam usaha membantu pelanggan berbelanja dengan lebih fleksibel, Jakel turut bekerjasama dengan beberapa institusi perbankan seperti Maybank, Affinbank, RHB Bank dan Bank Rakyat melalui program Easy Payment, membolehkan pelanggan membuat pembayaran secara ansuran sehingga 10 bulan.
Lebih daripada sekadar acara promosi, Jakel juga membuka peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan sekolah dan penuntut universiti sepanjang bulan Ramadan. Langkah ini bukan sahaja membantu mereka menjana pendapatan tambahan, malah memberi pendedahan awal kepada dunia perniagaan runcit.
Dengan semangat “Jakel, Barulah Raya” dan moto baharu “2025 Mendonia Bersama Jakel”, gedung tekstil ini bukan sekadar menjual pakaian, tetapi membina jenama yang lebih dekat dengan rakyat Malaysia.