SELANGOR — Buat julung kalinya sukan pickleball bakal melakar sejarah dengan pembukaan arena ‘9Pickle’, gelanggang pickleball pertama di Malaysia yang dilengkapi kemudahan tempat duduk grandstand berkapasiti 500 penonton di Setia Alam.
Pengasasnya, Vincent Siow berhasrat dengan pembinaan arena ini dapat mengangkat sukan pickleball Malaysia di mata dunia sekaligus menawarkan sukan mampu milik kepada masyarakat umum dengan tawaran harga yang berpatutan.
“Saya berharap pembukaan arena ini akan menjadi pencetus kepada pembinaan ekosistem pickleball yang lebih kukuh di negara ini, selain melahirkan lebih ramai jaguh tempatan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Pihak kami juga kini sedang berbincang dengan Professional Pickleball Association (PPA) untuk membawa kejohanan PPA pertama ke Malaysia.
“Usaha itu dijangka menarik lebih ramai pemain antarabangsa ke negara ini, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan pickleball di rantau ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Lebih istimewa lagi, majlis perasmian ‘9Pickle’ pada 13 April 2025 ini juga bakal menghadirkan bintang pickleball nombor satu ASEAN dan pemain ranking keenam dunia, Quang Duong.
Vincent Siow berkata Quang Duong juga akan mengendalikan klinik latihan khas untuk pemain pickleball tempatan, selain mengadakan perlawanan pameran bersama beberapa pemain terkemuka Malaysia.
“Quang turut akan menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan mega 9Pickle yang bakal berlangsung sempena pembukaan arena itu,” jelasnya.
Untuk rekod Vincent Siow juga merupakan individu di sebalik kejayaan rangkaian AI 24/7 Convenience Mart PANAS Express yang kini memiliki 70 cawangan dalam tempoh 18 bulan dan terus berkembang pada kadar dua cawangan baharu setiap minggu.