Bekas Naib Presiden Bersatu Sahkan Kembali Sertai UMNO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengesahkan penyertaan semula UMNO yang mula berkuatkuasa 18 Mac depan iaitu selepas selesai pemilihan parti itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan keputusan menyertai UMNO ketika ini adalah tidak popular, tidak mungkin dipersetujui dan tidak mungkin dapat diterima oleh semua pihak.

Beliau bagaimanapun menegaskan, kemasukannya ke dalam UMNO bukan kerana kedudukan parti itu yang berada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Saya dan rakan-rakan sudah membuat keputusan untuk tidak bersama BERSATU dan menyokong UMNO sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 lagi ketika belum lagi diketahui kedudukan parti mana yang bakal mentadbir negara.

“Saya sedar, kehadiran saya ke dalam UMNO bukan ketika UMNO melalui zaman kegemilangannya seperti sebelum ini sebaliknya UMNO melalui cabaran terhebat dalam sejarahnya kerana hanya berjaya memperolehi 26 kerusi parlimen pada PRU Ke-15 baru-baru ini,” katanya.

Katanya, keputusan parti itu menerimanya sebagai ahli semula bermula bulan depan diputuskan melalui keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

“UMNO menerima permohonan saya sebagai ahli UMNO berkuatkuasa 18 Mac 2023 melalui keputusan MKT UMNO dipengerusikan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) malam semalam dan melalui Mesyuarat Pengurusan UMNO yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden UMNO pada Rabu lalu.

“Saya ikhlas serta bertekad dan beriltizam untuk membantu dan berjuang bersama kepimpinan UMNO Malaysia, kepimpinan UMNO Melaka dan UMNO Bahagian Tangga Batu untuk mengembalikan semula sokongan dan kepercayaan rakyat kepada UMNO.

“Saya bersyukur apabila perjuangan saya dalam UMNO yang terhenti seketika sebelum ini dapat diteruskan kembali,” katanya.

Pada Oktober 2016, Rafiq digantung keahliannya oleh parti itu selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai EXCO Pemuda UMNO juga digugurkan.

Tindakan itu dikenakan selepas beliau didakwa melakukan sabotaj kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka ketika itu, Datuk Seri Idris Haron melalui program Bicara Negarawan yang dicadang dianjurkan di Melaka pada 2015. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat