Tribute buat Sarah

- Advertisement -

MENJANGKAU angka 21 tahun pembabitan di persada seni tanah air, kumpulan ‘psychedelic rock’ iaitu Pretty Ugly kini hadir dengan sebuah album istimewa buat peminat mereka.

Penyanyi merangkap pemain gitar rythm, Neves berkata, album terbaharu berjudul Pretty Ugly 21 ini mengandungi 11 buah lagu.

“Ia adalah album kelima Pretty Ugly yang diterbitkan selepas album ‘Abstrak Versi Fantasi’ 2001, ‘Transformasi Ke Stereo’ 2003, ‘Rockaholic’ 2006 & ‘Darabkan Sejuta’ 2011.

“Berlainan dengan album-album terdahulu, album Pretty Ugly 21 adalah rakaman semula lagu-lagu yang dimainkan di radio dan juga di televisyen.

“Boleh dikatakan semua lagu yang terkandung di dalamnya pernah menjadi hit, antaranya CD Bagasi Honey, Francis Ford Coppola, Nanti. En Ronald Moore dan Superstar,” katanya yang juga pengasas Pretty Ugly.

Tambah Neves lagi, dua lagu yang pernah menjadi lagu tema (OST) filem iaitu Diari Seorang Lelaki untuk filem Sepi dan Jika Diberikan Ku Satu Peluang untuk filem Tolong Awekku Pontianak juga turut dimuatkan.

“Kami juga memuatkan lagu Jangan Kau Mimpi dan Dirimu Tetap Ku Cinta Walaupun COVID Melanda di dalam album Pretty Ugly 21 ini.

“Jangan Kau Mimpi hasil ciptaan saya sepenuhnya, dirakam semula sebagai ‘tribute’ buat Allahyarham Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia pada Ogos tahun lalu, akibat Covid-19.

“Lagu ini diterbitkan oleh saya yang pernah dimuatkan dalam album Sarah berjudul Mimpi Pun Sama,” katanya.

Sementara itu, lagu Dirimu Tetap Ku Cinta Walaupun Covid Melanda pula adalah sebuah karya baharu mengisahkan mengenai bagaimana sepasang kekasih menempuh dugaan hidup di kala pandemik Covid-19 berlaku.

 

PRETTY Ugly rakam semula lagu Jangan Kau Mimpi yang pernah dipopularkan oleh Siti Sarah.
PRETTY Ugly rakam semula lagu Jangan Kau Mimpi yang pernah dipopularkan oleh Siti Sarah.

 

“Lagu ini sudah dipasarkan secara ‘digital single’ pada tahun lalu. Tapi, mungkin ramai juga yang masih tak pernah dengar atau tahu akan kewujudan lagu ini.

“Disebabkan itulah, lagu ini turut dimasukkan sekali di dalam album Pretty Ugly 21. Single untuk album ini ialah 5300.

“Lagu ini hanyalah sekadar ‘B Side’ di dalam album ‘Transformasi Ke Stereo’ yang diterbitkan pada 2003 dulu,” katanya.

Neves berkata, mereka sememangnya mempertaruhkan lagu ini sebagai single untuk album terbabit.

Bagaimanapun pihak label terdahulu tidak mempercayai kredibiliti lagu berkenaan dan menganggap single 5300 tidak cukup komersial.

“Jadi selepas sekian lama memendam hajat, untuk kali ini kami pertaruhkan lagu 5300 sebagai single baharu,” katanya.

Merujuk kepada penyepian mereka selama ini, Neves berkata, sebenarnya banyak single dirakam mereka sepanjang 10 tahun jarak antara album keempat iaitu Darabkan Sejuta dan album terkini, Pretty Ugly 21.

“Di antara lagunya ialah Dia Milikmu, No.1, Bongok dan Pasti Kau Milikku. Namun hanya lagu No. 1 saja yang pernah mendapat sambutan baik.

“Lagu ini juga adalah pemenang bagi kategori Muzik Video Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2014. Manakala, lagu Bongok pula ‘tenggelam timbul’ selepas tajuknya dipersoalkan oleh beberapa pihak.

“Lagu itu akhirnya ditukar tajuk ke ‘B’ selepas mendapat tekanan dan desakan pada masa itu. Oleh kerana lagu ini menimbulkan kekeliruan bagi pendengar, lama-kelamaan permintaan untuk lagu terbabit pun berkurangan,” katanya.

Neves berkata, untuk album terbaharu dihasilkan Pretty Ugly ini turut membariskan Jay (gitar) dan Juad (gitar) menerusi dana CENDANA.

“Salah satu dari geran yang dipohon iaitu CD Bagasi Muzik berjaya menjadi penerima dana. Jadi sekitar September 2021 lalu, rakaman pun bermula.

“Album ini diberi nama Pretty Ugly 21 bukan saja untuk meraikan 21 tahun Pretty Ugly berada di persada muzik ‘arus perdana’ Malaysia, tapi juga kerana album ini dihasilkan pada tahun 2021.

“Buat masa ini, album Pretty Ugly 21 hanya dipasarkan secara digital sejak 31 Januari lalu. Namun pada masa akan datang, kami juga merancang untuk memasarkannya dalam bentuk fizikal pula,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat