KUALA LUMPUR — Wanita UMNO menyatakan komitmen dan sokongan padu terhadap agenda ‘Rumah Bangsa’ yang digagaskan oleh Presiden UMNO, disifatkan sebagai satu langkah berani dan berjiwa besar bagi memperkukuh perpaduan Melayu serta menyatukan kekuatan umat.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata gagasan tersebut mencerminkan keikhlasan kepimpinan tertinggi parti dalam mengangkat semula nilai kebersamaan, perdamaian dan silaturahim dalam kalangan orang Melayu.
“Wanita menyambut baik harapan YAB Presiden yang mahu menjadikan UMNO sebagai Rumah Bangsa. Betapa besarnya jiwa YAB Presiden,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur .
Menurut beliau, agenda ‘Rumah Bangsa’ bukan sekadar slogan politik, sebaliknya satu wadah baharu yang bertujuan menyatukan umat Melayu dalam suasana saling memahami, berlapang dada dan bersedia berdamai demi masa depan bersama.
Noraini turut mengaitkan aspirasi tersebut dengan nilai dan jati diri Melayu sebagaimana yang digambarkan dalam sajak Melayu karya Sasterawan Negara, Usman Awang, yang menekankan keindahan perdamaian, keikhlasan memaafkan dan kekuatan silaturahim.
Beliau menegaskan, Wanita UMNO melihat usaha membina perpaduan Melayu sebagai satu keperluan mendesak dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar, justeru memerlukan keberanian politik serta kesatuan jiwa dalam kalangan pimpinan dan ahli parti.
“Di hadapan para perwakilan yang berada di dalam dewan ini, saya ingin menyatakan bahawa Wanita UMNO akan memberi sokongan padu untuk menjayakan agenda ini,” tegas beliau.
Tambahnya, Wanita UMNO di semua peringkat akan menggembeling seluruh usaha dan tenaga bagi memastikan konsep ‘Rumah Bangsa’ dapat diterjemahkan secara praktikal, termasuk menarik semula sokongan rakyat daripada segenap lapisan masyarakat.
Ucapan penangguhan itu menzahirkan pendirian jelas Wanita UMNO untuk berdiri teguh bersama kepimpinan parti dalam usaha memulihkan kepercayaan, memperkukuh perpaduan Melayu serta memastikan UMNO terus relevan sebagai wadah perjuangan bangsa.



