Wakil Kelantan Rayu Campur Tangan Persekutuan Selesaikan Isu Asas Rakyat Negeri Itu

KUALA LUMPUR — Perwakilan dari Kelantan, Wan Mahussin bin Wan Zain, merayu agar kepimpinan tertinggi parti serta Kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius terhadap realiti kehidupan rakyat di negeri itu yang masih berdepan pelbagai isu asas yang berlarutan.

Berucap ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, beliau menegaskan bahawa keadaan sosioekonomi rakyat Kelantan tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri lain, khususnya melibatkan isu ekonomi, sosial serta keperluan asas yang masih gagal diselesaikan sepenuhnya.

Menurut beliau, penghijrahan berterusan anak muda Kelantan ke negeri-negeri maju setiap tahun bukan kerana menolak pembangunan, sebaliknya didorong oleh ketiadaan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang mencukupi di negeri sendiri.

“Amat tidak jujur jika rakyat Kelantan dilabel menolak kemajuan sedangkan hakikatnya mereka terpaksa bekerja di negeri maju demi menafkahi keluarga,” katanya.

Pembahas itu turut menyentuh isu bekalan air bersih yang berpanjangan di Kelantan, sambil menyifatkan dakwaan kononnya rakyat tidak terkesan sebagai tidak berasas, sedangkan ramai hanya dapat menikmati kemudahan asas yang lebih baik apabila berada di luar negeri sendiri.

Sehubungan itu, beliau merayu agar Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, menyampaikan hasrat dan keluhan rakyat Kelantan kepada Anwar Ibrahim supaya bantuan dapat disalurkan secara lebih menyeluruh melalui agensi-agensi Persekutuan.

Antara cadangan utama yang dibangkitkan termasuk memperkukuh peranan KESEDAR, mempercepatkan penubuhan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara, serta menambah kuota Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan PPRS bagi membantu golongan yang memerlukan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar peruntukan baik pulih rumah melalui MARA ditingkatkan bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.

Pembahas berkenaan turut mengkritik pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan yang menggunakan slogan “Membangun Bersama Islam” namun didakwa gagal menterjemahkannya kepada penyediaan keperluan asas rakyat secara menyeluruh.

“Kerajaan yang mengangkat slogan Islam seharusnya lebih cakna terhadap kebajikan dan keperluan rakyat, bukan membiarkan masalah asas berlarutan puluhan tahun,” tegas beliau.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat