Kesetiaan Puteri bukan kesetiaan membuta tuli, sebaliknya kesetiaan yang berpaksikan kepada survival politik UMNO

KUALA LUMPUR — Perwakilan Puteri dari Sabah menegaskan bahawa kesetiaan Pergerakan Puteri UMNO kepada parti bukan bersifat membuta tuli, sebaliknya berlandaskan prinsip dan matlamat besar untuk memastikan kelangsungan politik parti dalam landskap semasa yang semakin mencabar.

Dalam membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah, Ummi Nabilah Jamal berkata Puteri UMNO memilih pendekatan yang lebih tenang namun bermakna, dengan fokus untuk memperkukuh saf perjuangan parti, bukan sekadar menambah polemik atau suara lantang.

Menurut beliau, Puteri UMNO memahami bahawa dalam politik, ukuran sebenar kekuatan bukan terletak pada siapa yang paling bising bersuara, tetapi pada siapa yang paling tahan diuji dan konsisten mempertahankan perjuangan parti.

“Kesetiaan Puteri bukan kesetiaan membuta tuli, tetapi kesetiaan yang berpaksikan kepada survival politik UMNO itu sendiri,” katanya disambut tepukan perwakilan.

Beliau menegaskan Puteri UMNO akan terus bersuara apabila perlu, namun tetap berdiri teguh bersama kepimpinan parti apabila sesuatu keputusan telah dibuat, selaras dengan disiplin serta adab perjuangan dalam parti.

Dalam ucapannya, Ummi Nabilah turut menyatakan kepercayaan penuh Puteri UMNO terhadap Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Fauzi atau lebih dikenali sebagai ‘Along’, untuk membawa suara hati dan pandangan wanita muda ke peringkat kepimpinan tertinggi parti.

“Kami di Puteri UMNO ibarat adik-beradik yang akrab dalam menggerakkan wanita muda serta menjaga imej parti. Hakikatnya, dalam kalangan kami tidak ada seorang pun wakil rakyat, termasuk ketua kami sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ketiadaan jawatan atau kedudukan dalam kerajaan tidak pernah melemahkan gerak kerja Puteri UMNO, malah pergerakan itu terus berfungsi dan kekal relevan walaupun Ketua Puteri UMNO Malaysia tidak memegang sebarang jawatan lain selain mengetuai sayap tersebut.

Sehubungan itu, Puteri UMNO Sabah secara berlapik menyuarakan harapan agar kepimpinan tertinggi parti dapat memberi pertimbangan dan ruang sewajarnya kepada Ketua Puteri UMNO sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, kesetiaan dan peranan sayap wanita muda dalam memastikan masa depan parti terus terpelihara.

Ucapan perbahasan tersebut mencerminkan pendekatan matang Puteri UMNO Sabah yang menekankan kesetiaan berteras prinsip, ketahanan dalam perjuangan serta keperluan strategi yang berfokus kepada kelangsungan parti, sejajar dengan realiti politik semasa.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat