Kompleks Mini NRES Sabah akhirnya dibina selepas 32 tahun penantian

KOTA KINABALU,— Setelah hampir 32 tahun menunggu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kini memasuki fasa penting dalam menyediakan kemudahan yang lebih selamat, kondusif dan lestari apabila projek pembinaan Kompleks Mini NRES Sabah dimulakan secara rasmi.

Majlis perasmian pecah tanah projek itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Sri Arthur Joseph Kurup di Lot Tanah CL215304831, Daerah Penampang. Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jaffry Arifin.

Kompleks Mini NRES ini dibangunkan di atas tanah seluas 6.77 ekar dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sebagai agensi pemilik, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilantik sebagai agensi pelaksana projek.

Pembinaan kompleks berkenaan merangkumi bangunan pentadbiran yang menempatkan Ibu Pejabat JUPEM Sabah, Pejabat Topografi Wilayah Kota Kinabalu JUPEM Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Sabah serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Sabah. Kompleks ini turut dilengkapi dewan serba guna, bangunan makmal dan gudang JMG.

Projek Kompleks Mini NRES Sabah telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada tahun 2023 dengan kos pembinaan dianggarkan kira-kira RM81 juta. Kerja-kerja pembinaan bermula pada 2 Oktober 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 1 Februari 2029.

Dari sudut reka bentuk, kompleks ini menerapkan ciri-ciri bangunan hijau dengan konsep inovatif yang berteraskan kelestarian alam sejajar dengan fungsi dan peranan NRES. Elemen reka bentuk hijau pasif turut diaplikasikan ke arah pembangunan bangunan cekap tenaga.

Keseluruhan fasad bangunan direka dengan identiti Sabah yang moden dan harmoni, menampilkan elemen seni bina tempatan yang bukan sahaja menarik secara visual, malah mencerminkan komitmen terhadap pembangunan mampan dan mesra alam.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat